Kuala Lumpur: Biar Mike Morgan lakukan tugasnya, itulah pesanan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh selepas ditanya mengenai status terkini isu Datuk Lee Chong Wei yang akan melalui proses Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) awal bulan depan.

Menurut Kenny, beliau tidak mahu memberikan sebarang spekulasi mengenai tarikh dan tempat perbicaraan ke atas pemain nombor satu dunia itu kerana sekarang ini semuanya diserahkan kepada Morgan, peguam berpengalaman dalam menyelesaikan masalah berkaitan sukan.

“Kita sudah melantik peguam jadi biarlah dia (Morgan) melakukan kerja yang sepatutnya dilakukannya, saya rasa lebih elok jangan melakukan sebarang spekulasi,” katanya ketika ditemui media di ibu pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, setakat ini BWF tidak memberikan sebarang maklumat terkini.

“Apa yang penting bagi kami sekarang ini ialah mendapat maklumat sebanyak mungkin untuk pembelaan Chong Wei.

“Tidak ada gunanya mendengar khabar angin daripada pihak lain dan BWF juga memberikan kerjasama baik bersama kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:11 AM