ZULFAHMI (dua kiri) tekad bangkit di Phillip Island.
ZULFAHMI (dua kiri) tekad bangkit di Phillip Island.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Sepang: Pelumba sensasi negara, Zulfahmi Khairuddin bakal berdepan tugas getir menjelang tiga baki perlumbaan dengan menyasarkan untuk memperbaiki kedudukan di kelompok 15 terbaik dunia dengan menjadikan Litar Phillip Island, Australia, hujung minggu ini sebagai landasan mencipta kebangkitan.

Selepas menamatkan Grand Prix Jepun di kedudukan ke-14, Ahad lalu, pelumba Moto3 negara itu berhasrat meneruskan momentum positif seperti yang dilakarnya pada dua perlumbaan sebelum ini untuk mencari lebih banyak mata.

Dengan baki tiga perlumbaan untuk musim ini, penunggang Ongetta-AirAsia itu setakat ini sudah mengutip 19 mata untuk berada di tangga ke-19 keseluruhan, ketinggalan jauh kepada pendahulu saingan Alex Marquez yang mengumpul 231 mata.

"Untuk saya mengejar kejuaraan sudah tertutup rapat, namun saya ingin meletakkan diri sekurang-kurangnya di kelompok 15 terbaik.

"Persaingan masih belum tamat, tiga perlumbaan terakhir ini penting untuk musim ini kerana ramai pelumba yang berada di depan kadang-kadang sudah tidak ambil kisah, tapi bagi saya tiga perlumbaan ini paling penting.

"Biarpun saya lihat kedudukan ke-15 agak jauh, tetapi tidak mustahil untuk saya lakukan sesuatu. Saya harap keajaiban berlaku di Australia dan juga di Malaysia serta Sepanyol, tetapi keajaiban itu tidak akan diperoleh jika kami tidak berusaha mendapatkannya," katanya ketika ditemui pada sesi bertemu media di Asian Aviation Center of Excellence, Sepang, semalam.

Pada saingan di Litar Motegi, minggu lalu, anak kelahiran Banting itu mencatat masa 39 minit 46.072 saat di belakang Alex Marquez (39:26.830s), Efren Vazquez (39:27.187s) dan Brad Binder (39:27.314s) dengan masing-masing manamatkan perlumbaan di tempat pertama, kedua dan ketiga.

Ketika ditanya mengenai peluangnya meraih mata di litar sepanjang 4,448 meter, tujuh selekoh kiri, lima selekoh kanan dan laluan lurus yang paling panjang iaitu 900 meter itu, Zulfahmi percaya jentera Honda yang ditunganginya amat sesuai dengan permukaan litar di Australia itu.

"Di sana mempunyai selekoh yang agak tajam dan laju. Saya yakin jentera Honda salah satu motosikal yang stabil di laluan selekoh ketika memandu dalam keadaan laju.

"Di samping itu, jentera kami juga agak baik di jalan lurus dan ini kelebihan buat pasukan. Saya harap seperti biasa dapat meraih keputusan lebih baik pada kelayakan untuk memudahkan saya melakukan sesuatu pada perlumbaan sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:06 AM