Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kekurangan pakej kepantasan di laluan lurus menyebabkan pelumba negara dari pasukan PETRONAS Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah gagal meraih kedudukan lebih baik apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 saingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia di Litar Antarabansa Losail, Qatar semalam.

Hafizh dilihat mampu mencabar kelompok 10 pelumba terbaik apabila bijak mencari ruang memintas pelumba lain pada awal saingan, tetapi jentera tunggangannya, Kalex tidak mampu menghalang barisan pelumba lain memintasnya di laluan lurus.

Bagaimanapun keputusan itu sudah cukup membanggakan anak muda berusia 20 tahun itu yang memulakan perlumbaan dari petak ke-19.

“Ia perlumbaan yang cukup menarik. Saya mungkin meraih keputusan lebih baik jika jentera pantas di laluan lurus kerana ramai pelumba memintas saya di situ.

“Saya cuba mengimbangi kekurangan itu di selekoh, tapi tidak mampu berbuat apa-apa.

“Apapun, tempat ke-12 sudah cukup baik kerana dapat meraih empat mata. Saya akan berusaha lebih lagi pada saingan seterusnya di Austin,” kata Hafizh.

Dua lagi pelumba negara yang beraksi dalam kategori Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman (IDEMITSU Honda Team Asia) serta Zaqhwan Zaidi (JPMoto Malaysia) masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 dan 23.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin dari pasukan SIC Racing Team mempamerkan aksi mengecewakan apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 7:58 AM