MARQUEZ menunggang motor di kawasan paddock menjelang perlumbaan MotoGP 2017 di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO/OSMAN ADNAN
MARQUEZ menunggang motor di kawasan paddock menjelang perlumbaan MotoGP 2017 di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO/OSMAN ADNAN
Khairil S Iswan dan Fadhli Ishak


JAGUH MotoGP Sepanyol, Marc Marquez mengakui akan mengambil pendekatan berhati-hati ketika perlumbaan di Grand Prix (GP) Malaysia tetapi andai peluangnya untuk ‘membalas dendam’ terbentang luas, dia sedia mengambil risiko itu.

Tiba di Malaysia dengan potensi meraih kejuaraan dunia keempat, pelumba Repsol Honda itu begitupun dua kali dimalukan tahun ini oleh pelumba Ducati, Andrea Dovizioso apabila dinafikan kemenangan di Austria dan Jepun selepas pertarungan hebat di selekoh terakhir.

Ketika ditanya sama ada dia bersedia untuk sekali lagi mengambil risiko berkenaan jika situasi sama berulang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mempunyai selekoh terakhir cukup unik, pelumba berusia 24 tahun bersedia melakukannya.

“Sudah tentu jika boleh memintas, kami akan cuba,” kata Marquez ketika ditemui di hospitaliti pasukannya.

“Kami akan cuba melakukannya tapi situasi ketika ini agak berbeza. Selain mengambil risiko dan sentiasa memberi tekanan, kami juga perlu cuba untuk menamatkan perlumbaan.

“Itulah keutamaannya kerana apa yang penting adalah untuk mencari mata kejuaraan dan berfikir mengenai kejuaraan.”

Marquez ketika ini memimpin kejuaraan dengan kelebihan 33 mata di depan Dovizioso berbaki dua pusingan perlumbaan termasuk di GP Malaysia.

Jika dia berjaya menamatkan perlumbaan di Malaysia dengan catatan mata melebihi Dovizioso, kejuaraan dunia keempat akan sah menjadi miliknya tanpa melihat keputusan di pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol.

“Saya menjangkakan perlumbaan yang sukar minggu ini. Motivasi saya ketika ini tinggi dan akan sentiasa berusaha dengan keras ketika perlumbaan,” kata Marquez.

“Saya memperoleh keputusan yang baik dan kurang baik di sini sebelum ini tapi keadaan jentera ketika ini amat berbeza. Kami berlumba dengan konsisten dan pantas jadi lihat di mana kami akan berada di sini minggu ini.”

Di sebalik dua situasi mengecewakan di Austria dan Jepun, Marquez sudah memenangi enam perlumbaan daripada keseluruhan 16 perlumbaan musim ini termasuk di Australia minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:01 PM