VALENTINO Rossi menyifatkan menunggang jentera MotoGP sebagai antara cara terbaik untuk menyambut hari lahirnya.
VALENTINO Rossi menyifatkan menunggang jentera MotoGP sebagai antara cara terbaik untuk menyambut hari lahirnya.

JUARA dunia sembilan kali, Valentino Rossi menyifatkan menunggang jentera MotoGP di Litar Buriram, Thailand sebagai antara cara terbaik untuk menyambut hari lahirnya yang ke-39, semalam.

Legenda Itali itu melengkapkan 74 pusingan pada sesi ujian terakhir pramusim rasmi tahun ini sebagai pelumba Yamaha terpantas dan kelapan keseluruhan.

“Sejak tiga tahun lalu, saya fikir saya sentiasa menunggang M1 (jentera) pada hari lahir saya,” kata Rossi yang kontraknya bersama Yamaha berakhir pada tahun ini tetapi belum menunjukkan tanda untuk bersara.

“Dari satu sudut ia sedikit sukar kerana kamu perlu bekerja, tetapi dari satu sudut lagi ia cara terbaik untuk menyambut hari lahir saya.”

Pelumba LCR Honda dari British, Cal Crutchlow mencipta masa terpantas sesi ujian itu walaupun mengalami kemalangan dengan pelumba Suzuki, Alex Rins kedua dan penyandang juara dunia, Marc Marquez ketiga bersama Repsol Honda.

Marquez menyambut hari lahirnya ke-24, hari ini.

“Ia nampak agak laju apabila saya mengelilinginya menggunakan skuter semalam (kelmarin), tetapi apabila saya menunggang jentera saya hari ini (semalam), saya menyedari ia lebih perlahan dari yang saya jangka dengan banyak selekoh menggunakan gear dua dan tiga,” kata Marquez mengulas litar berkenaan.

Litar Buriram disenarai buat pertama kali dalam kalendar perlumbaan MotoGP musim ini dan akan menganjurkan pusingan ke-15 pada Oktober. 

Perlumbaan pembuka musim MotoGP 2018 dijadualkan berlangsung di Qatar pada 18 Mac ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 6:54 PM