Silverstone, Britain: Juara dunia dua kali yang juga pendahulu keseluruhan Marc Marquez (gambar, kiri) percaya selekoh serta laluan di litar Silverstone akan membantunya menjarakkan diri dengan pesaing lain ketika perlumbaan MotoGp British berlangsung Ahad ini.

Apa yang lebih membanggakan Marquez ialah dia sedang mengumpul 197 mata sebelum mengharungi perlumbaan ke-12 daripada 18 keseluruhan, jauh lebih baik berbanding pesaing terdekat Valentino Rossi yang mengumpul 144 mata diikuti Jorge Lorenzo dengan 138 mata.

“Saya sukakan litar ini, beberapa selekoh pertama perlu dilalui dengan perlahan tetapi laluan lurus selepas itu akan memberi peluang kepada pelumba yang bijak untuk menjarakkan diri,” kata pelumba berusia 23 tahun itu pernah menang di Silverstone pada 2014 sebelum muncul juara dunia buat kali kedua berturut-turut.

“Dan perlumbaan kami musim ini turut diuji dengan pelbagai keadaan cuba dan kami mengharunginya dengan baik,” tambah pelumba Honda itu yang berjaya menjarakkan diri dengan pelumba lain hasil tunggangan konsisten.

Pelumba Sepanyol Lorenzo pula masih enggan menyerah kalah walaupun tidak memperoleh sebarang mata di litar Catalunya, Brno dan Argentina.

“Kita perlu memikirkan satu demi satu perlumbaan dan cuba mendapatkan keputusan terbaik,” kata juara 2015 yang juga pelumba Yamaha itu.

“Silverstone adalah destinasi kami selepas ini dan kami akan cuba melakukan yang terbaik.

“Litar ini adalah antara litar pilihan saya tetapi malangnya cuaca di sini sukar diramal.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:47 AM