MENARIK dan bergaya.
MENARIK dan bergaya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kegilaan peminat motosikal ‘kustom’ khususnya Street Cub mencetus fenomena baru di Malaysia dengan menghasilkan pelbagai rupa bentuk yang berbeza.

Fenomena itu sangat popular di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Jepun, sebelum melanda negara ini sehingga wujudnya kelab peminat motosikal kustom.

Di Malaysia, kebiasaannya jentera yang digelar Street Cub menggunakan Honda C70 yang mempunyai reka bentuk menarik dan mudah untuk diubah suai.

Bagi seorang mekanik kereta di Gerik, Perak, Hamidi Saad, 35, Honda C70 buatan 1990 lampu petak, kini amat berbeza dengan tampil reka bentuk unik.

Motosikal warisan keluarga yang tersadai dan tidak lagi digunakan diubah suai tahun lalu selepas ‘diracun’ rakan seangkatan memiliki jentera Street Cub.

Sehingga kini, jentera itu masih mengekalkan enjin asal namun keunikannya adalah menggunakan klac tangan.

Sistem kuasanya dipertingkatkan dengan mengubah suai bahagian enjin, selain menggunakan ekzos Super K khas yang dibeli dari Thailand.

Bagi padanan dua rim kereta jenama BBS bersaiz 17 inci dengan balutan Bridgestone Batlax, pemegang tayar (sepit udang) bahagian hadapan dibesarkan dan hasil yang ditampilkan unik serta menawan.

Seterusnya penyerap hentak hadapan asal dikekalkan tetapi disokong sepasang suspensi lain bagi memberikan tahap kestabilan sempurna. Bahagian belakang pula dikawal dua unit monoshock ASV.

Bagi menghentikan jentera itu pula, sudah pasti pemilik mahukan prestasi berkualiti dan justeru brek pam jenama Brembo digunakan pada motosikal berkenaan.

Jentera itu tampil watak berbeza apabila dilengkapi lampu belakang Kawasaki KLX 150 pada ‘ekor’ belakang jentera yang diubah suai.

Bahagian hadapan pula, lampu dari Honda C70 bulat digunakan supaya lebih unik dan menarik.

Beberapa aksesori lain seperti meter tekanan angin, kelajuan dan RPM turut dipasang bagi memberikan ia lebih keistimewaan pada jentera berkenaan.

Lebih menarik apabila keseluruhan badan jentera diwarnakan dengan teknik semburan oleh KF Airbrush di Kulim, Kedah.

Jentera menelan kos restorasi hampir RM10,000 itu kini kerap membawa tuah kepada pemilik yang juga ahli kelab Lawin Street Cup berikutan turut memenangi pertandingan autoshow.

INFO

HONDA C70 KELUARAN 1990

- Ubah suai:

• Klac tangan

• Penyerap hentak hadapan binaan khas

• Dua Monoshock ASC

• Lampu belakang Kawasaki KLX-150

• Lampu hadapan Honda C70 bulat

• Brek pam Brembo

• Rim kereta BBS 17 inci

• Tayar Bridgestone Batlax

• Ekzos Super K

• Meter kelajuan, RPM dan tekanan angin binaan khas

- Kos ubah suai:

• RM10,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:02 AM