GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencuri motosikal di bandar raya ini, sebelum menjualnya semula di media sosial dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan suspek dibuat dalam tempoh 24 jam susulan satu laporan polis dibuat mangsa iaitu lelaki tempatan berumur 35 tahun pada 11.56 pagi kelmarin.

Katanya, mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan motosikal miliknya yang disyaki dicuri selepas diletakkan di parkir motosikal di salah sebuah bangunan di bandar raya ini.

"Bertindak atas maklumat, pada 10.20 malam hari sama hingga 1.50 pagi semalam, pasukan pegawai dan anggota D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) JBS membuat serbuan di tiga lokasi berasingan termasuk di Larkin dan Pekan Nanas, Pontian.

"Dalam serbuan itu, polis menangkap dua lelaki warga tempatan iaitu pencuri dan pembeli barangan curi berusia 28 dan 29 tahun.

"Turut dirampas, kunci motosikal, sekeping salinan sijil pemilikan kenderaan (palsu) dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, siasatan awal mendapati, selepas mencuri motosikal, suspek membuat salinan sijil milikan kenderaan palsu dengan menggunakan aplikasi dan menyunting nama pemilik asal kepada namanya.

Katanya, suspek kemudian memuat naik iklan penjualan motosikal di media sosial, pada harga antara RM1,400 hingga RM1,500.

"Hasil tangkapan ke atas suspek pertama berjaya menyelesaikan tiga lagi kes curi motosikal yang berlaku di daerah ini.

"Hasil semakan, suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua, tiada rekod jenayah lampau.

"Kedua-dua suspek kini direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:03 AM