MENARIK ubah suai yang dilakukan.
MENARIK ubah suai yang dilakukan.
HIMPUNAN Honda C70 street cub.
HIMPUNAN Honda C70 street cub.
PEMILIK motosikal yang diubah suai.
PEMILIK motosikal yang diubah suai.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


Kegilaan terhadap motosikal ‘kustom’ terutama Honda C70 yang lebih popular kepada konsep street cub mencetus fenomena baru kepada pemilik kapcai di Malaysia selepas ia popular di Jepun, Indonesia dan Thailand.

Walaupun semua motosikal boleh diubah suai bagi konsep street cub, Honda C70 paling diminati kerana reka bentuknya yang klasik sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya.

Ini menyebabkan mereka sanggup berhabis duit ‘mencantikkan’ motosikal untuk kepuasan yang pastinya teruja apabila menjadi tumpuan di karnival pemotoran atau bertembung secara tidak sengaja di mana-mana lokasi.

Bertemu sekumpulan penunggang motosikal di Taman Tasik Bandar, Kuantan, Pahang baru-baru ini, jelas kelihatan motosikal kustom sangat menarik dan ada di antaranya mencecah sehingga RM10,000 untuk kos pengubahsuaian.

Peminat tegar motosikal kustom, Mohd Nasrul Ripin, 29, turut tidak ketinggalan mengikut trend semasa apabila mengubah suai motosikal Honda C70 milik bapanya, Ripin Samad, 64, dengan konsep street cub.

Bagi menjadikan kapcai yang berusia 25 tahun itu sebagai motosikal street cub, Mohd Nasrul menghantar jentera berkenaan ke bengkel rakannya untuk ‘dibogelkan’ sehingga tinggal rangka dan enjin sahaja.

Dia kemudian membeli sendiri komponen yang diperlukan supaya motosikal Honda C70 dimodifikasi menepati cita rasanya.

Bagi sebuah motosikal berkonsepkan street cub, komponen yang wajib ditukar semestinya lampu depan dan belakang, pemegang tangan, tayar serta rim lebih lebar.

“Saya belanja hampir RM7,000 menukar tayar, rim, pemegang tangan, lampu dan mengecat semula menggunakan cat semburan angin,” katanya yang menetap di Sungai Isap, Pahang.

Menurutnya, hampir RM1,000 dibelanjakan untuk cat semburan angin, tetapi tidak menganggapnya pembaziran sebaliknya sebagai ‘hadiah’ untuk mendapatkan sebuah street cub yang diidamkan.

“Street cub mempunyai kedudukan yang istimewa pada pandangan saya kerana ia direka menggunakan idea kreatif dan tidak ditiru orang lain... saya belum pernah berjumpa ‘kembar street cub’ ini.

“Walaupun tidak boleh berada di jalan raya, street cub tetap diminati dan jika ada jemputan untuk karnival pemotoran atau program bersesuaian, kami beramai-ramai akan menyertai dan memberi peluang kepada orang ramai melihat ‘kegilaan’ kami mengubah suai motosikal,” katanya yang bertugas sebagai juruteknik di Kerteh, Terengganu.

Pemilik bengkel motor di Taman Tas, Kuantan, Tengku Fairuz Izwan Tengku Samsuddin, 34, pula berkata, dia tidak perlu mengupah orang lain untuk melakukan pengubahsuaian skuter asal jenama Suzuki US125 miliknya itu.

“Selepas tiga tahun menggunakan skuter ini, saya ‘teringin’ untuk mengubahnya menjadi ‘ruckus’ dan ternyata ia sangat berbaloi.

“Saya mula berminat dengan motor kustom ini apabila ramai pemilik street cub datang ke bengkel untuk mencari komponen terpakai bagi dipasang pada motor masing-masing,” katanya.

Menurutnya, skuternya hanya menggunakan enjin, lantai dan pemegang tangan asal manakala yang lain semuanya ditukar.

“Saya tukar rim supaya dapat pasang tayar lebih besar, tempat duduk direndahkan sedikit bagi menampakkan pemegang tangan lebih tinggi dan menggantikan brek tangan yang lebih canggih,” katanya.

Meminati motosikal lama dan klasik membuatkan Muhammad Aizat Mohd Apandi, 22, menyimpan hasrat memiliki street cub selepas tamat sekolah.

“Saya berminat dengan motosikal jenis scrambler dan Honda C70. Selepas tamat sekolah, saya bekerja dan hasil simpanan digunakan untuk membeli motosikal Honda C70 dan scrambler lama DK2 TT160.

“Memang motosikal lama, tetapi saya meminatinya dan hampir RM10,000 dibelanjakan untuk ubah suai kedua-duanya serta ia satu khazanah yang tinggi nilainya,” katanya.

“Walaupun ada ahli keluarga dan rakan menganggap saya mensia-siakan wang gaji, ia tidak begitu teruk,” katanya.

Biarpun kerap berulang alik dari Gombak ke Kuantan, Mohd Asrar Mustafa, 31, menganggap ia pengalaman berguna dan secara langsung menunjukkan komitmen tinggi dalam mempromosikan motor kustom pada mata masyarakat.

Sementara itu, Mohd Shahrulzaman Abd Rahman, 30, bertindak sebagai ketua kumpulan Geng-Geng Gemok (3G) yang semakin popular dalam kalangan peminat motosikal kustom di Kuantan berkata, ahli kumpulannya kini mencecah 65 orang dan berkumpul setiap kali ada aktiviti permotoran di Pahang atau negeri lain.

Katanya, empat jenis motosikal kustom yang popular dalam kalangan peminat ialah cafe racer, trekker, ruckus (skuter) dan paling popular street cub.

“Honda C70 menjadi pilihan kerana ia mempunyai daya tarikan luar biasa dari segi enjin dan kerangka selain harganya murah” katanya yang juga tertarik dengan motor kustom dari Amerika Syarikat dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:01 AM