HONDA EX5 tampil unik.
HONDA EX5 tampil unik.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Honda EX5 motosikal yang sinonim di jiwa rakyat Malaysia dengan menerima sambutan paling memberangsangkan di negara ini.

Sejak diperkenalkan pada 1987, jentera yang hadir dengan beberapa varian berbeza tetap mendapat sambutan rakyat Malaysia sehingga hari ini.

Walaupun sudah 29 tahun, ia masih lagi digilai semua peringkat umur termasuk warga emas.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang, berbeza pula ceritanya di mana seorang pekerja gerai makanan mengubah Honda EX5 kepada konsep ‘Brat Style’ apabila bentuknya seakan-akan jentera cafe racer.

Jentera keluaran 1990 bersesaran 100cc milik Muhammad Faizal Abdullah, 32, mula diubah suai tahun lalu, di bengkel Kudik Garage, Kepala Batas.

Pada mulanya, pemiliknya meminati gaya modifikasi street cup sebelum mengubah fikiran dan mengubah suai jenteranya kepada Brat Style berikutan mahukan kelainan.

Kerja modifikasi bermula dengan menggunakan kerangka asal, tetapi mengikut reka bentuk Honda CG.

Selepas proses membina kerangka disiapkan, tangki minyak daripada Suzuki TS 125 dipasang serta menaik taraf bahagian enjin di mana omboh asal digantikan bersaiz besar, selain dilengkapi karburetor Suzuki TS 100 bagi memberikan lebih kuasa.

Jentera itu juga dinaik taraf sistem pengendalian di mana diubah suai kepada klac tangan. Seterusnya sistem ekzos dirombak dan dibina khas mengikut tema ‘Brat Style’.

Kestabilan jentera diperkuatkan dengan penyerap hentak hadapan dari Honda C70, manakala jenama TSR pada bahagian belakang.

Bagi menghentikannya, sistem brek cakera dari Yamaha 125Z digunakan pada bahagian belakang dan hadapan padanan daripada Honda Dash.

Roda pula menggunakan hub Yamaha 125Z yang dipadankan dengan rim aloi Racing Boy lebar lima inci dan padanan tayar 17 inci.

Jentera yang menggunakan lampu hadapan Honda C70 turut dilengkapi meter kelajuan yang ditempah khas dari negara jiran.

Proses restorasi jentera memakan masa lebih lapan bulan dengan kos keseluruhan melebihi RM3,000.

INFO

- Ubahsuai:

• Tangki minyak Suzuki TS 125

• Karburetor Suzuki TS100

• Omboh 53 milimeter

• Sistem klac tangan

• Penyerap hentak hadapan Honda C70

• Penyerap hentak belakang TSR

• Rim 5.0 Racing Boy

• Hub Yamaha 125Z

• Brek cakera Yamaha 125Z belakang

• Brek cakera Honda Dash hadapan

• Meter kelajuan khas

• Ekzos binaan khas

- Kos modifikasi:

• RM3,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:00 AM