PROTON Juara bergaya.
PROTON Juara bergaya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Proton Juara adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) mini pertama keluaran pengeluar automotif tempatan, namun rupa bentuknya yang tidak menarik menyebabkan ia tidak mendapat sambutan.

Biarpun rupanya dikatakan seiras Mitsubishi Town Box di negara matahari terbit yang menerima sambutan menggalakkan, namun tidak di negara ini.

Di Malaysia, keluaran jentera itu sedikit terhad malah pengeluarannya hanya bertahan iaitu beberapa tahun antara 2001 sehingga 2003.

Bagi sesetengah pihak, jentera yang digelar peti ais, kotak kasut dan sebagainya sememangnya ganjil menyebabkan tidak ramai menyukainya.

Berbeza bagi seorang pelukis kejuruteraan di Ipoh, Perak, Mohammad Zaki Azuddin, 38, apabila Proton Juara dianggap kenderaan keluarga yang juga layak diubah suai secara ekstrem.

Jentera keluaran 2001 yang masih mengekalkan enjin asal bersesaran 1,100cc itu kini diberi nafas baru dari segi luaran dan dalamannya.

Bermula dengan rupa bentuk luaran, pemilik memilih aksesori seperti cermin sisi, visor pintu, bampar dan kit badan daripada Mitsubishi Town Box bagi memberi imej berbeza.

Penambahan sistem penyejuk kotak gear (ATF Cooler) pada bampar hadapan membuatkan ia kelihatan sedikit garang.

Selain itu, pemasangan ‘penyodok’ binaan khas pada bampar hadapan menjadikannya semakin menawan ditambah pula diceriakan warna hijau Crystal Pearl 6K.

Penambahan dapra pada jentera itu tampak lebar, selain lebih unik dengan padanan spoiler Rocket Bunny.

Padanan rim 15 inci jenama Work Equip 03 menjadikan jentera itu semakin menarik sehingga ada yang menyangkakan ia adalah jentera Suzuki APV diubah suai.

Bagi sudut dalaman, tidak banyak yang diubah suai kecuali menggunakan stereng Momo Klasik serta tempat duduk dibalut dengan warna elegan.

Ruangan enjin tampak biasa tetapi menggunakan hos getah Samco dan penukaran filter angin HKS. Prestasinya ditingkatkan dengan pemasangan ekzos binaan kustom.

Sementara itu, Mohammad Zaki berkata, dia berbelanja lebih RM10,000 bagi mengubah suai MPV berkenaan, namun masih belum puas dengan hasil seninya.

Menurutnya, dia merancang menukarkan enjin berkuasa turbo supaya jentera yang dianggap peti ais dan kotak kasut itu mampu berdaya saing dengan jentera lain.

INFO

PROTON JUARA 2001

- ENJIN: A`sal 1,100cc

- UBAH SUAI ENJIN:

• Penapis udara HKS

• Hos getah Sumco

• Ekzos binaan khas

- UBAH SUAI LUARAN DAN DALAMAN:

• Dapra binaan khas

• ‘Penyodok’ binaan khas

• Bampar Mitsubishi Town Box

• Cermin Sisi Mitsubishi Town Box

• Spoiler Rocket Bunny

• Stereng Momo Klasik

• Rim 15 Work Equip 03

- KOS:

• RM10,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:29 AM