MANAUDOU (kiri) dan Melina diberi penghormatan bawa bendera Perancis. FOTO AFP
MANAUDOU (kiri) dan Melina diberi penghormatan bawa bendera Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Bekas juara renang Olimpik, Florent Manaudou, dan atlet lempar cakera Melina Robert Michon dipilih sebagai pembawa bendera bagi kontinjen Perancis di upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024.

Manaudou, yang memenangi emas di London 2012 dan meraih empat pingat Olimpik secara keseluruhan, bersama Robert-Michon, pemenang perak dari Rio 2016, dipilih melalui undian dalam kalangan atlet-atlet mereka sendiri, seperti yang dilaporkan oleh Le Parisien.

Upacara pembukaan pada 26 Julai akan berlangsung di Sungai Seine, Paris, memecahkan tradisi Olimpik yang biasanya diadakan di stadium utama pertandingan.

Manaudou dan Melina akan memimpin perarakan kontinjen Perancis di antara 85 bot yang akan berlayar di sepanjang sungai, menyaksikan pertunjukan yang meliputi 3,000 peserta termasuk penari, pemuzik, pelakon, dan artis sarkas, yang akan menghiburkan 326,000 penonton di sekitar tepi sungai dan jambatan.

Siaran langsung acara itu dijangka dapat menarik lebih sejuta penonton di seluruh dunia.

Manaudou juga diberi penghormatan sebagai pembawa obor pertama apabila obor Olimpik tiba di Marseille dalam sebuah kapal abad ke-19 dari Greece pada 9 Mei, menandakan permulaan perjalanan obor selama 78 hari merentasi Perancis dan wilayah seberang lautnya, termasuk Guadeloupe, New Caledonia, dan Reunion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:26 AM