JENTERA Honda C70 Street Cub memukau.
JENTERA Honda C70 Street Cub memukau.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Hanya bermodalkan kerangka dan enjin Honda C70 lampu petak, akhirnya muncul jentera yang boleh dikategorikan sebagai Street Cub Extreme.

Lihat saja sepasang tayar hasil gabungan rim motosikal dan kereta sudah cukup menunjukkan pemiliknya, Hazlizan Mohd Noor, 34, bersungguh-sungguh mencipta kelainan dalam menaik taraf jenteranya.

Imej sebenar Street Cup adalah motosikal kegunaan harian bersesaran bawah 100cc sebelum diubah suai dengan penggunaan tayar lebar bersama hiasan lebih ekstrem.

Model Honda C70 1985 milik Hazlizan bukan saja memukau dengan teknik semburan angin bertemakan watak kartun Tasmania, malah rim digunakan adalah gabungan Racing Boy dan BBS bersalut tayar Bridgestone Battlax.

Harga bagi mendapatkan rim binaan khas bersama tayar itu mencecah lebih RM3,000 sepasang.

Untuk memuatkan rim bersaiz gergasi berkenaan, fork hadapan terpaksa melalui proses binaan semula dengan padanan penyerap hentak tambahan Apido.

Penyerap hentak belakang pula dibuang dan digantikan dengan dua besi padu menyebabkan keseimbangan motosikal hanya ditentukan melalui tekanan angin roda belakang.

Selain itu, tempat duduk dan tangki bahan api juga dibina secara kustom.

Antara aksesori tambahan lain ialah Meter RPM Koso, wayar pendikit Uma Racing, pelaras rantai Apido Racing, lampu belakang Kawasaki KLX 150, lampu hadapan Honda C70 dan meter kelajuan Honda C200.

Manakala enjin jentera turut dinaik taraf dengan karburetor Uma Racing dan ekzos sistem 1-2.

Biarpun tampak padat dan berat, jentera itu mampu memecut sehingga 120 kilometer sejam (km/j) dan pemilik mengakui membelanjakan RM14,000 untuk menukar rupa motosikal kesayangannya.

SPESIFIKASI:

Honda C70 1985

Rim: Binaan khas Gabungan Racing Boy dan BBS

Tayar: Bridgestone Battlax

Penyerap hentak: Apido Racing hadapan

Tangki minyak dan tempat duduk: Kustom

Meter: RPM Koso

Wayar pendikit: Uma Racing

Pelaras rantai: Apido Racing

Lampu belakang: Kawasaki KLX 150

Lampu hadapan: Honda C70

Meter kelajuan: Honda C200

Kos Modifikasi: RM 14,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 1:53 PM