BARBORA meraikan kejayaan mengalahkan Elena. FOTO AFP
BARBORA meraikan kejayaan mengalahkan Elena. FOTO AFP
AFP

London: Pemain Republik Czech, Barbora Krejcikova, yang ditempatkan sebagai pilihan ke-31, akan menentang Jasmine Paolini dari Itali dalam final Wimbledon selepas mencatat kemenangan mengejut ke atas bekas juara Elena Rybakina 3-6, 6-3, 6-4.

Beberapa jam selepas Jasmine mengalahkan Donna Vekic dari Croatia dalam pertandingan separuh akhir wanita paling laman di Wimbledon dengan keputusan 2-6, 6-4, 7-6 (10/8), giliran Barbora pula menunjukkan ketabahan meraih kemenangan menentang pemain pilihan keempat itu dalam masa dua jam tujuh minit.

Ia menetapkan pertemuan akhir antara Barbora dan pilihan ketujuh, Jasmine, esok.

Bagi Barbora, ini adalah penampilan final Grand Slam keduanya pada usia 28 tahun, selepas kemenangannya di Terbuka Perancis pada tahun 2021.

"Saya sangat bangga dengan persembahan permainan serta semangat berjuang saya hari ini," kata Barbora selepas kemenangannya.

Dia memulakan musim 2024 dengan mara ke separuh akhir Terbuka Australia, tetapi mengalami kekecewaan termasuk kekalahan di pusingan pertama Terbuka Perancis disebabkan cedera belakang.

Walaupun menghadapi cabaran ini, dia mendapat rentaknya semula di Wimbledon, menewaskan lawan-lawan yang hebat seperti Danielle Collins dan Jelena Ostapenko untuk mara ke final.

Barbora, yang dua kali menjadi juara Wimbledon dalam saingan beregu, kini berdiri di ambang kejayaan mengejutkan dalam kategori tunggal.

"Ini luar biasa. Agak sukar untuk dijelaskan, tetapi begitu banyak kegembiraan dan emosi," tambah Barbora, menggambarkan perasaannya terhadap pencapaiannya di Wimbledon.

"Apabila saya berhasil merampas servisnya dalam set kedua, saya masuk ke dalam zon selesa dan tidak mahu keluar dari situ," tambahnya, menekankan fokusnya pada saat-saat penting dalam perlawanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:11 AM