MAYAT lelaki itu ditemukan hanya berseluar panjang. FOTO Ihsan
MAYAT lelaki itu ditemukan hanya berseluar panjang. FOTO Ihsan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan mengesahkan penemuan satu mayat terapung di sekitar perairan Port Dickson, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim, Mohd Khairi Abd Aziz berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan pemancing pada 5.10 petang.

Beliau berkata, berikutan itu, bot Perkasa 37 ke lokasi pada 5.51 petang.

"Anggota kemudian menemukan mayat lelaki yang hanya berseluar panjang di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya berhampiran Tanjung Tuan.

"Mayat tanpa identiti itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut," ujarnya.

Mohd Khairi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi pihaknya di talian 06-3876730.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut, boleh terus menghubungi kami, Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan atau talian 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 10:06 AM