HONDA C70 digelar Kejora Biru.
HONDA C70 digelar Kejora Biru.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Tiga bulan tempoh yang diperlukan seorang peminat motosikal kategori ‘street cub’ untuk mengumpul duit de­ngan menjual kasut terpakai berjenama secara dalam talian untuk mengubah suai Honda C70 milik bapanya.

Namun, motosikal yang sebelum ini tersadai kini menjelma sebagai motosikal street cub dan digelar sebagai Kejora Biru.

Akibat ‘racun’ daripada rakan yang memiliki jentera sama serta pengaruh dari laman sosial, membuatkan Muhamad Zamri Alias, 27, atau lebih mesra dipanggil Awie mula mencari dana bagi merealisasikan impiannya.

Sejurus mendapat restu ayahnya serta sedikit wang hasil jualan kasut, Awie mula menghidupkan jentera pusaka Honda C70 keluaran 1986 di bengkel rakan di Kedah pada 2012 sebelum menambah baik jentera kesayangannya di Johor dua tahun selepas itu.

Seperti kebanyakan jentera kategori itu yang mana bahagian belakang dibuang, ruang tayar juga diubah suai dan dilebarkan bagi menempatkan rim aloi Racing Boy saiz 5.0 dengan padanan tayar Maxxis.

Rim hadapan turut menggunakan jenama sama bersaiz 4.0 dengan fork dicantumkan kepingan besi untuk memberikan ruang lebih selesa pergerakan tayar yang lebar dan besar.

Pemegang tayar belakang dari Honda Wave 125 digunakan bagi menggantikan komponen asal dan dilengkapi sepasang penyerap hentakan jenama KYB.

Bagi kemantapan Kejora Biru, jejari aloi berwarna pelangi dipadankan pada rim sebelum lingkaran putih yang dipanggil ‘white wall’ dilekatkan bersama kedua-dua tayar.

Jentera itu masih mengekalkan enjin asal berkapasiti 70cc , ‘dikacukkan’ dengan beberapa komponen dari Honda EX5 termasuk blok dan juga kepala silinder bagi memberi kuasa pecutan yang lebih.

Ia juga menggunakan omboh bersaiz 57 milimeter (mm) ditambah dengan penggunaan karburator Yamaha RX-S. Bagi mengawal tahap kepanasan enjin, set penyejuk enjin binaan khas dari jenama Morin digunakan dan diletak pada sisinya.

Jentera yang asalnya berwarna kuning diberikan penampilan warna baru iaitu biru perak dan sedikit sentuhan melalui teknik semburan angin pada perkataan ‘Street Cub’ sekali gus memberikan kelebihan tersendiri.

Tempat duduk tempahan khas dari Sero Kusyen kerap mencuri tumpuan apabila diikat pada penutup tangki minyak yang diubah suai bagi memudahkan ia dibuka.

Bagi sistem bunyi, ia menggunakan ekzoz QPBR untuk memberikan kesan bunyi yang garang.

SPESIFIKASI:

Model: Honda C70 keluaran 1986

UBAH SUAI ENJIN:

- Omboh bersaiz 57 mm

- Karburator Yamaha RX-S

- Blok Honda EX-5

UBAH SUAI LUARAN:

- Rim aloi Racing Boy

- Sistem penyejuk enjin Morin

- Meter kelajuan Koso

- Penyerap hentak KYB

- Pemegang tayar aloi Honda Wave 125

- Sistem ekzos QPBR

- Tempat duduk tempahan khas

KOS:

- Lebih RM6,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:01 AM