INSIDEN pergaduhan antara pemain dan staf Uruguay dengan penyokong Colombia. FOTO Reuters
INSIDEN pergaduhan antara pemain dan staf Uruguay dengan penyokong Colombia. FOTO Reuters
AFP

Miami: Penganjur Copa America, Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), membuka siasatan disiplin berikutan 'perbuatan keganasan' yang berlaku pada separuh akhir antara Uruguay dan Colombia di Charlotte semalam.

Penyerang Uruguay, Darwin Nunez, adalah antara pemain yang melompat ke dalam kawasan penonton di Stadium Bank of America dan bertumbuk dengan peminat dalam kejadian yang dipanggil oleh CONMEBOL sebagai 'tidak boleh diterima'.

Pertahanan tengah Uruguay, Jose Maria Gimenez, berkata, pemain terbabit dalam pergaduhan itu kerana bimbang mengenai keselamatan ahli keluarga dan orang tersayang yang menonton perlawanan di kawasan berkenaan.

Uruguay dijadualkan akan menentang Kanada di stadium yang sama dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Ahad ini dan masih belum pasti jika ada pemain mereka akan digantung untuk perlawanan itu

"Berikutan perbuatan keganasan yang berlaku pada separuh akhir perlawanan antara pasukan kebangsaan Uruguay dan Colombia, Unit Disiplin CONMEBOL memutuskan membuka siasatan bagi menjelaskan urutan kejadian dan tanggungjawab mereka yang terlbabit," kata konfederasi Amerika Selatan itu.

CONMEBOL juga menegaskan bahawa mereka tidak mahu kejadian itu berulang, membabitkan antara penyokong kedua-dua pasukan, untuk final hari Isnin ini apabila Argentina berdepan Colombia di Stadium Hard Rock di Miami.

"Pada malam sebelum final Copa America kami, kami ingin menegaskan dan memberi amaran bahawa tiada tindakan yang mencemarkan perayaan bola sepak global akan diterima, membabitkan kedua-dua pihak yang terbabit dan peminat yang hadir di stadium untuk final yang disaksikan oleh ratusan juta penonton di seluruh dunia.

"Adalah tidak boleh diterima jika insiden seperti ini mengubah semangat menjadi keganasan. Oleh itu, tiada tingkah laku yang melanggar semangat sukan dan pertunjukan yang paling indah di dunia, yang juga milik seluruh keluarga, akan diterima," tambah mereka.

Gimenez berkata, bahawa para pemain terpaksa masuk campur untuk melindungi ahli keluarga mereka dan mengkritik pihak polis tempatan di gelanggang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 10:11 AM