PELAJAR membuat akujanji untuk menjadi anggota masyarakat berguna kepada bangsa dan negara.
PELAJAR membuat akujanji untuk menjadi anggota masyarakat berguna kepada bangsa dan negara.
BERSALAMAN dengan tetamu sebagai tanda hormat.
BERSALAMAN dengan tetamu sebagai tanda hormat.
MIOR Rosdi (tiga dari kiri) bersama Yahya, Kamarudin, Khairudin dan Zahid bergambar kenangan dengan peserta dan jurulatih selepas merasmikan program.
MIOR Rosdi (tiga dari kiri) bersama Yahya, Kamarudin, Khairudin dan Zahid bergambar kenangan dengan peserta dan jurulatih selepas merasmikan program.
Mohd Sah Muda


Seramai 440 pelajar menyertai Program Remaja Berwawasan (PRW) Siri 9/2016 peringkat Johor di Kem PLKN Pusat Bina Semangat Yayasan Pelajar Johor (YPJ) di Sekakap, Mersing, baru-baru ini.

Program lima hari empat malam itu dikelolakan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) manakala KD Sultan Ismail dilantik sebagai pasukan penganjur.

Tiga agensi utama yang terbabit dalam program ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelajaran.

PRW bertujuan menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar dengan mendedahkan pelbagai modul kursus termasuk ketenteraan, motivasi dan kaunseling, kemahiran individu dan kumpulan, kepimpinan serta kerohanian.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah kerjaya ATM/PDRM, rempuh halangan, flying fox, abseiling, kaunseling, pembentukan jati diri, merentas desa, ikhtiar hidup dan kawad.

Elemen kerohanian dan moral turut diterapkan melalui aktiviti solat berjemaah dan tazkirah serta kelas moral bagi yang bukan Islam.

Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mior Rosdi Datuk Mior Mohd Jaafar berkata, program itu dilaksanakan bagi memperkukuh dan memperkasa modal insan generasi muda.

“Mereka aset utama dalam kelangsungan program tranfomasi negara dan perlu dibentuk dengan nilai positif bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat.

“Golongan ini penyambung warisan masa depan dan diharap program ini mampu membimbing mereka melakukan kebaikan sejagat,” katanya.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Johor, SAC Yahya Ramli, Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Johor, Kamarudin Mohamad Tahir, wakil Pengarah Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Kolonel Khairudin Mohamad Nor dan Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail, Kapten Zahid Abd Aziz.

Program itu bermula pada 2013 dan sudah melatih 16,000 pelajar di 216 sekolah menengah seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 10:45 AM