PELBAGAI perkongsian maklumat diberikan secara langsung kepada pelajar.
PELBAGAI perkongsian maklumat diberikan secara langsung kepada pelajar.
Rashidah Ibrahim

Kebanyakan murid memanfaatkan cuti sekolah untuk berehat atau melancong bersama keluarga.

Bagaimanapun, bagi kumpulan penerima biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, musim cuti masa untuk bertemu kembali rakan program dalam kem Peneraju Tunas Geliga yang diadakan setiap cuti pertengahan dan akhir tahun.

“Penyertaan dalam kem itu wajib kerana tertakluk dengan kontrak penerimaan biasiswa yang menghendaki mereka mengikuti program bimbingan sepanjang menerima bantuan berkenaan,” kata Ketua Pembangunan Murid yayasan itu, Mimi Masood, 49.

Penting untuk memastikan reka bentuk modul selari dengan objektif program yang menjurus kepada pengajaran, pembelajaran dan sahsiah sekali gus mendapat maklum balas untuk memantapkan pengisian, pencerapan program seiring apa dirancang.

Pada musim cuti pertengahan tahun baru-baru ini, 956 murid tingkatan satu hingga empat mengikuti program enam hari di tiga tempat berasingan, iaitu di Kolej Vokasional Gombak (KVG), Selangor, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak dan MRSM Kuching, Sarawak.

Program itu menghimpun murid daripada keluarga berpendapatan rendah selain pelbagai latar belakang, antaranya suka bersendirian dan sukar bergaul.

Bagi pelajar tingkatan empat SMK Taman Universiti, Johor Bahru, Muhd Nazafee Abu Bakar, 16, dia berpeluang menyertai program itu hasil bantuan ibu saudara yang terbaca iklan tawaran berkenaan.

“Program ini sangat bagus. Ia mendedahkan saya teknik pembelajaran tidak terdapat di sekolah.

“Paling penting, latihan kepemimpinan membantu meningkatkan potensi diri dan dapat diamalkan di sekolah,” katanya.

Bagi Siti Nurul Shahida Mohd Jefrey, 16, pula program berkenaan besar manfaatnya.

“Saya calon kumpulan pertama dan kini masuk tahun keempat. Banyak manfaat saya peroleh menerusi program ini.

“Melalui bimbingan, saya berjaya mengenal diri, mengubah imej daripada seorang negatif kepada berkeyakinan dan berwawasan.

“Saya turut belajar bagaimana berkomunikasi di depan awam hingga mampu menjadi pengacara majlis di sekolah,” katanya.

Kaedah latihan yang dijalankan ialah secara berkumpulan selain menggalakkan interaksi serta perbualan dalam bahasa Inggeris.

Ia dikendalikan kumpulan pembimbing QSC Outreach Services Sdn Bhd (QSC) daripada kalangan guru pelatih, guru dan guru cemerlang dengan sasaran menanam keyakinan, sifat kepimpinan, kemahiran pembelajaran dan menyemai nilai kerohanian di kalangan murid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 12:16 PM