MAFUZAH Md Radzi (kiri) melihat penghuni Penjara Wanita Kajang mencanting batik di Penjara Wanita Kajang. FOTO: Rosela Ismail
MAFUZAH Md Radzi (kiri) melihat penghuni Penjara Wanita Kajang mencanting batik di Penjara Wanita Kajang. FOTO: Rosela Ismail
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PERISTIWA dua tahun lalu sebagai bidan terjun membantu seorang banduan wanita melahirkan anak di dalam penjara menjadi pengalaman sukar dilupakan Mafuzah Md Radzi.

Mafuzah kini bertugas sebagai Ketua Inspektor Penjara Wanita Kajang (Bahagian Pemulihan) dan sudah 14 tahun berkhidmat dalam pasukan beruniform berkenaan.

Menurutnya, ibu bayi lelaki itu dihukum penjara atas kesalahan pecah amanah.

“Kejadian itu mencetuskan suasana cemas dan kelam-kabut kerana masing-masing yang bertugas tidak mempunyai pengalaman berhadapan situasi itu.

“Lazimnya, banduan yang mengandung akan bersalin di hospital dan kejadian seperti itu adalah kes terpencil.

“Namun, saya bersyukur dapat mengawal keadaan dan wanita itu selamat bersalin sebelum di hantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, lebih menyentuh hati apabila wanita itu merayu meminta suaminya mengazankan bayi berkenaan.

“Namun, permintaan ini tidak dapat dipenuhi kerana banduan terikat dengan peraturan ditetapkan penjara,” katanya.

MAFUZAH bantu penghuni tirai besi menerusi program kemahiran, kaunseling, kerohanian.
MAFUZAH bantu penghuni tirai besi menerusi program kemahiran, kaunseling, kerohanian.

Menurut Mafuzah, ramai banduan wanita di penjara tertekan kerana memikirkan nasib anak-anak mereka.

“Bahkan ada yang melakukan perkara negatif kerana tidak dapat menerima hakikat terpaksa menjalani kehidupan di penjara.

“Sebagai pegawai, saya juga tidak terlepas berhadapan perkara membabitkan emosi dan memahami perasaan seorang ibu yang terpisah daripada anak,” katanya.

Bagaimanapun, Mafuzah berkata, dia bersikap profesional dalam menjalankan tugas dan memberikan sokongan moral serta kaunseling kepada banduan bagi mengurangkan tekanan mereka.

Menurut Mafuzah, Jabatan Penjara Malaysia menyediakan pelbagai program kepada penghuni penjara sama ada berbentuk kemahiran, kaunseling dan kerohanian.

“Program seperti ini membolehkan banduan membaiki diri dan menguruskan tekanan sepanjang menjalani hukuman penjara,” katanya.

MENGAWASI penghuni penjara belajar mengaji al-Quran.
MENGAWASI penghuni penjara belajar mengaji al-Quran.

Mafuzah berkata, dia gembira bertugas sebagai pegawai di tirai besi kerana dapat membentuk semula dan memberi peluang kedua kepada banduan.

PROFIL

Nama: Mafuzah Md Radzi

Jawatan: Ketua Inspektor Penjara Wanita Kajang (Bahagian Pemulihan)

Tempoh Berkhidmat: 14 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Anugerah: Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:30 AM