ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam PSC.
ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam PSC.
MENCABAR keupayaan diri berdepan kesukaran.
MENCABAR keupayaan diri berdepan kesukaran.
SESI penerangan aktiviti diberikan sebelum peserta memulakan cabaran.
SESI penerangan aktiviti diberikan sebelum peserta memulakan cabaran.
Oleh Mohd Sah Muda


Seramai 526 pelajar, guru pengiring dan jurulatih menyertai Program Summer Camp (PSC) Siri 6/2015 peringkat Johor selama lima hari di Kem PLKN Pusat Bina Semangat Yayasan Pelajar Johor(YPJ), baru-baru ini.

Program lima hari empat malam itu dikelolakan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) manakala unit KD dilantik pasukan penganjur.

Tiga agensi utama yang terbabit melaksanakan program ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

PSC bertujuan menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar dengan pendedahan pelbagai modul kursus termasuk ketenteraan, motivasi dan kaunseling, kemahiran individu dan kumpulan, kepimpinan serta kerohanian.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah ceramah kerjaya ATM/PDRM, rempuh halangan, flying fox, abseiling, kaunseling, pembentukan jati diri, merentas desa, ikhtiar hidup dan kawad.

Di samping itu, elemen kerohanian dan moral juga diterapkan melalui aktiviti solat berjemaah dan tazkirah serta kelas moral bagi yang bukan beragama Islam.

Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan Strategi Lautan Biru (NBOS) Brig Jen Toh Choon Siang berkata, program itu dilaksanakan adalah bagi memperkukuh dan memperkasakan modal insan generasi muda.

“Mereka adalah aset utama dalam kelangsungan program tranfomasi negara dan perlu dibentuk dengan nilai-nilai positif bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat.

“Golongan ini menjadi penyambung warisan masa depan dan diharap program ini mampu membimbing mereka untuk melakukan kebaikan sejagat,” katanya.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Deputi Suprentendan M Kumar, Asisten Ketua Staf Pembangunan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM Komandar Mat Salleh Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Yayasan Pelajaran Johor Abd Razak Mohd Saad dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Johor Kamarudin Mohamad Tahir.

Anugerah Sekolah Terbaik dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Jaafar Albar, Tanjung Sedili Kota Tinggi yang memperoleh markah tertinggi menerusi kriteria ditetapkan antaranya semangat kerjasama berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:02 AM