KOMANDER Yusman (dua kanan) menyerahkan peti ais kepada penduduk kampung, Zulkifli (kanan).
KOMANDER Yusman (dua kanan) menyerahkan peti ais kepada penduduk kampung, Zulkifli (kanan).
ANTARA mereka yang dijemput untuk menceritakan pengalaman hidup sebagai anggota TLDM.
ANTARA mereka yang dijemput untuk menceritakan pengalaman hidup sebagai anggota TLDM.
PELAJAR sekolah bertanyakan soalan dengan seorang anggota TLDM.
PELAJAR sekolah bertanyakan soalan dengan seorang anggota TLDM.
Oleh Abu Bakar Al Sidek

Program jiwa murni sudah sebati bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ia adalah tanggungjawab sosial yang bertujuan membantu golongan tertentu, selain memberi peluang kepada warganya untuk mendekati masyarakat dan beramah mesra dengan mereka.

Dalam pelbagai keadaan, kehadiran dan pembabitan mereka nyata membantu menyelesaikan banyak masalah dihadapi seperti bergotong-royong membina dan membaiki rumah penduduk, masjid, sekolah, jalan dan kemudahan awam lain.

Baru-baru ini, seramai 25 anggota Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) KD Sultan ldris 1 berpangkalan di Lumut mengadakan lawatan muhibah ke Sekolah Tahfiz Al-Baraqah, Kampung Batak Rabit, Teluk lntan, Perak.

Dalam program itu, mereka melakukan kerja pembersihan secara bergotong-royong di kawasan persekitaran sekolah, melaksanakan sistem naik taraf air tawar bagi membantu pelajar mendapatkan sumber air yang lebih baik dan mengemas kini kedudukan perpustakaan mini.

Mereka juga berkongsi ilmu dan pengalaman kehidupan seharian sebagai warga TLDM melalui slot ceramah motivasi.

Pegawai Pemerintah KD Sultan ldris 1, Komander Yusman yang mengetuai misi lawatan itu melahirkan rasa gembira kerana berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dengan pelajar dan penduduk setempat.

"Program ini turut memberi pendedahan kepada pelajar dan penduduk dengan mengetahui lebih dekat mengenai fungsi dan peranan TLDM," katanya pada majlis suai kenal dengan pelajar dan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, ia adalah program kedua dijalankan pada tahun ini sebagai usaha merapatkan hubungan kekeluargaan antara anggota TLDM dengan masyarakat setempat.

"Contoh yang dipaparkan ini turut menjadi suntikan semangat kepada generasi muda agar memilih TLDM sebagai kerjaya mereka pada masa depan.

"Sokongan dan komitmen tinggi daripada pelajar dan masyarakat setempat terhadap program jiwa murni ini sangat dihargai, malah menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

"Program turun padang sebegini wajar diadakan dengan lebih kerap bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat gambaran sebenar mengenai fungsi dan peranan anggota tentera," katanya yang menyempurnakan majlis suai kenal itu.

Sementara itu, Leftenan Komander Razali Jusoh, 37, berkata, melalui program itu penuntut kursus pemerintah dan staf TLDM berasa gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat.

"Walaupun program ini dijalankan sehari saja, ia berjaya mewujudkan perasaan kekeluargaan dengan pelajar yang begitu bersemangat dan ceria.

"Saya turut menanamkan minat dalam kalangan pelajar terbabit agar mereka belajar bersungguh-sungguh dan boleh menjadi anggota TLDM dengan syarat mempunyai kelulusan akademik yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.

Ketua Kampung Hazli Sleiman, 59, berkata, kedatangan anggota TLDM ke kampung itu memberi suntikan semangat kepada anak muda untuk bergelar tentera sebagai kerjaya mereka pada masa depan.

"Kami mengalu-alukan angkatan tentera untuk mengadakan program jiwa murni seperti ini kepada penduduk kampung kerana banyak manfaat boleh dijadikan panduan dan kejayaan terhadap generasi muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:01 AM