AKTIVITI latihan dalam kumpulan untuk memupuk semangat berpasukan.
AKTIVITI latihan dalam kumpulan untuk memupuk semangat berpasukan.
SENAM pagi untuk menyihatkan badan dan minda.
SENAM pagi untuk menyihatkan badan dan minda.
BERGAMBAR kenangan selepas program berakhir.
BERGAMBAR kenangan selepas program berakhir.
Mohd Sah Muda


Seramai 60 pelajar dari enam Sekolah Agama Kerajaan Johor dari daerah Mersing memperoleh pelbagai pengalaman berharga ketika menyertai Program Pembangunan Sahsiah, Emosi dan Eksplorasi (Pro-Seed) 2016 di Teluk Gorek Chalet & Campsite, Tanjung Resang, Mersing, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Islam Daerah Mersing (PPIDM).

Pegawai Tadbir YPKDT Daerah Wirarinnata Sadikin berkata, program bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan menggilap potensi diri untuk berjaya dalam pelajaran.

Pada masa sama ia ibarat serampang dua mata bagi memberi pendedahan kepada pelajar menjalankan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat.

“Program ini sebahagian usaha menyuntik kesedaran pelajar bagaimana mahu mengoptimumkan keupayaan diri supaya mampu berdepan cabaran sebagai pelajar sekali gus melakar kejayaan.

“Walaupun masih muda, program dijalankan bersesuaian dengan keperluan dikehendaki selain menjadi platform mendidik mereka sebagai anggota masyarakat.

“Suntikan pelbagai elemen menjadi kekuatan program termasuk mengadakan aktiviti berbentuk pengukuhan jati diri,” katanya.

Program dua hari itu turut dipenuhi aktiviti bercorak keagamaan termasuk tazkirah, kuliah Subuh, ceramah dan riadah.

Penolong Pegawai Pendidikan Islam Daerah Johari Samat berkata, pelajar yang menyertai program diharap mampu menjadi contoh terbaik kepada rakan lain.

“Penyusunan aktiviti program adalah seimbang dan kami mengharapkan ia mampu memberi impak kepada peserta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 12:07 PM