PROF Dr Mohd Shukri bersama graduan.
PROF Dr Mohd Shukri bersama graduan.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Kampus Management & Science University (MSU) di Shah Alam penuh ceria apabila 1,910 graduannya menerima ijazah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen ke-18 universiti itu.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Canselor itu disempurnakan Pro Canselor MSU Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Majlis yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 23 dan 26 Januari itu turut menyaksikan MSU menghasilkan graduan sulung bagi tujuh program pengajian iaitu program Master in Accounting, Master in Management, Bachelor in Psychology with Marketing (Hons), Bachelor of Counseling and Guidance (Hons), Bachelor of Information Systems Auditing (Hons), Diploma in Spa Management dan Diploma in Aircraft Maintenance Technology.

Majlis itu turut melakar sejarah kepada 55 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berjaya menamatkan pengajian dalam Diploma Seni Kulinari. Ini kejayaan kerjasama antara MSU dan TLDM (Kementerian Pertahanan).

Seramai 47 graduan menerima menerima anugerah khas graduan cemerlang iaitu Pingat Emas Canselor, Anugerah Presiden, Mohd Shukri Yajid Outstanding Award, Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

Presiden Athlone Institute of Technology (AIT), Ireland Prof Ciaran O Cathain pula menerima Ijazah Doktor Kehormat Pengurusan.

Menurut Prof Dr Mohd Shukri, Prof Ciaran banyak menyumbang bakti kepada pengurusan pengajian tinggi dan sentiasa membantu bidang berkenaan.

“Beliau sudah memberi sumbangan dalam bidang pengurusan pengajian tinggi dan diharap hubungan ini dapat diteruskan bagi membantu menambah baik bidang ini.

“MSU sudah menjalin hubungan baik dengan AIT Ireland terutama dalam dua aspek iaitu pendidikan teknikal dan keusahawanan.

“Bermula September ini, MSU akan menjalankan program pertukaran pelajar dengan AIT membabitkan kira-kira 200 pelajar untuk tempoh tiga hingga empat tahun,” katanya.

Beliau berkata, MSU menyasarkan 20 peratus pertambahan jumlah pelajar dari luar negara dalam usaha membantu industri pendidikan tinggi dan secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan terkemuka di seluruh dunia.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis berkenaan, Prof Dr Mohd Shukri berkata, fasa ketiga pembangunan kampus MSU membabitkan pembinaan asrama pelajar dan hospital.

“Kemudahan berkenaan dijangka siap pada Disember,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:41 AM