ANGGOTA polis menunjukkan mayat  yang ditemui di bawah tilam.
ANGGOTA polis menunjukkan mayat yang ditemui di bawah tilam.
Agensi

Pattaya: Dua pelanggan hotel di sini tidur di sebuah kamar tanpa menyedari ada mayat di bawah tilam mereka.

Pelanggan berkenaan memasuki hotel itu dan mengadu bau busuk di dalam kamar berkenaan.

Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan untuk tetap tidur di blik itu.

Keesokannya, seorang pekerja juga terhidu bau busuk di kamar berkenaan dan menemui darah di atas katil.

Selepas mencari, dia dan kakitangan lain menemui mayat seorang pondan di bawah tilam itu.

“Pekerja berkenaan menghidu bau yang teramat busuk di bilik itu. Kakitangan lain menyelongkar kamar berkenaan dan menemui mayat di bawah tilam,” kata Ketua Polis Pattaya, Kolonel Apichai Kropphet.

Menurutnya, selepas siasatan, pihaknya menahan dua remaja berusia 17 dan 14 tahun kerana didakwa membunuh pondan berkenaan, Amphon Kongsong, 28, lapor akhbar Bangkok Post.

Ia memetik polis sebagai berkata, kedua-dua remaja itu mengaku membunuh mangsa.

Kropphet berkata, remaja berusia 17 tahun itu berkenalan dengan Amphon menerusi Facebook dan dia dipujuk supaya mencari pekerjaan di Pattaya.

Pondan itu menghabiskan masa beberapa malam dengan kedua-dua remaja itu sebelum pertengkaran meletus apabila remaja berusia 17 tahun itu menolak melakukan seks dengan pondan terbabit.

Remaja itu mengaku mencekik mangsa hingga mati dengan bantuan rakannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 7:15 AM