Lokasi empat mayat yang ditemui di tepi jalan menghubungkan Kampung Tanjung Hilir dengan Kampung Padang Bual, Bekelam, Bachok. - Foto Fail
Lokasi empat mayat yang ditemui di tepi jalan menghubungkan Kampung Tanjung Hilir dengan Kampung Padang Bual, Bekelam, Bachok. - Foto Fail
BERNAMA

Bachok: Penduduk Kampung Tanjung Hilir dan Kampung Padang Bual, Bekelam yang kerap menggunakan jalan menghubungkan kedua-dua kampung tempat empat mayat ditemui petang semalam, mengakui pernah menghidu bau busuk ketika melalui jalan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Tanjung Pauh, Azman Mohamad berkata penduduk menyangka bau busuk itu adalah bangkai haiwan dan tidak mengesyaki empat mayat dihumban dalam semak-samun di jalan berkenaan.

"Selepas kejadian itu (penemuan mayat), masing-masing memberitahu takut untuk melalui jalan dipenuhi semak-samun dan agak gelap pada waktu malam itu kerana hanya ada sebatang tiang lampu jalan di situ.

"Apatah lagi ia bukan membabitkan satu mayat tetapi empat mayat ditemui sekali gus di tempat yang sama," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.35 petang semalam, penduduk Kampung Hilir Tanjung, Bekelam, di sini, digemparkan dengan penemuan empat mayat yang dicampak ke dalam semak berhampiran jalan kampung itu.

Semua mangsa berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dipercayai mati sekurang-kurangnya tiga hari lalu.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Tualang Salak, Zulkifli Abdullah, 41, berkata dia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada rakannya, Hisyamuddin Wan Mohamad, 45, pada 6.30 petang, iaitu saksi pertama kejadian.

“Sampai di tempat kejadian, saya melihat semua mayat yang lengkap berpakaian sudah menggelembung, pecah perut dan muka tidak dapat dikenali.

"Hisyamuddin memberitahu, dia bersama tiga lagi rakannya menemui mayat itu kira-kira 6.15 petang selepas melakukan kerja menuai padi. Ketika dalam perjalanan pulang mereka menghidu bau busuk sebelum menemui empat mayat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 6:33 PM