GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fazrik Kamarudin

BAU busuk dari sebuah unit rumah pangsa di Pandan Jaya, Ampang Jaya, semalam membawa kepada penemuan mayat seorang wanita.

Mayat itu ditemui selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang terhidu bau busuk itu kira-kira pada jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, wanita berusia 52 tahun itu tinggal seorang diri dalam rumah berkenaan.

"Sebaik menerima laporan pada jam 7.08 malam, pegawai penyiasat dan jurufoto bergegas ke unit rumah pangsa berkenaan.

"Selepas memasuki rumah itu, mereka menemui si mati dalam keadaan tertiarap di lantai ruang tamu dan mayat dalam keadaan mengembang dan mereput.

"Pemeriksaan terhadap tubuh si mati tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan pemeriksaan di tempat kejadian tiada menemui apa-apa benda atau kesan yang boleh dikaitkan dengan unsur atau kejadian jenayah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamzah berkata, wanita berkenaan yang tidak pernah berkahwin sudah tinggal di tingkat dua rumah pangsa berkenaan sejak 20 tahun lalu dan pernah bekerja sebagai ejen umrah.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:19 AM