P Kamalanathan. FOTO Roslin Mat Tahir
P Kamalanathan. FOTO Roslin Mat Tahir
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pendidikan mengesahkan tiada bahan yang meragukan dijumpai dalam mesin penapis 'air ajaib' di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran A, Klang yang didakwa boleh menjadikan murid cemerlang dalam peperiksaan ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, siasatan yang dilakukan pada Jumaat lalu mendapati air itu adalah minuman biasa yang ditapis menggunakan mesin penapis yang biasa.

"Oleh kerana terdapat bantahan daripada guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), edaran air minuman berkenaan dihentikan secara serta merta.

"Mesin penapis itu juga sudah dibuka dan bahagian dalam mesin ini hanya terdapat beberapa penapis sahaja dan tidak menjumpai apa-apa barang yang meragukan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan laman portal baharu bagi Anugerah 3K, di kementeriannya di sini hari ini.

Sebelum ini, tindakan guru besar sekolah berkenaan menimbulkan kemarahan ibu bapa kerana didakwa menggalakkan pelajar meminum 'air ajaib' yang dikeluarkan oleh pergerakan agama.

Guru besar itu turut meletakan kain rentang di seluruh sekolah bagi tujuan promosi 'air ajaib' kepada seluruh warga sekolah termasuk guru dan meletakkan mesin layan diri bagi memudahkan pelajar membeli air berkenaan di dalam botol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:30 PM