WAKIL PIBG yang tidak puas dengan pengurusan sekolah.
WAKIL PIBG yang tidak puas dengan pengurusan sekolah.
Muhammad Apendy Issahak

Lenggong: Hanya kerana tidak puas hati dan menegur pengurusan sekolah rendah di sini, seorang bapa mendakwa anaknya diugut guru besar sekolah berkenaan hingga mengakibatkan anak perempuannya takut untuk ke sekolah.

Cheah Peng Kiet, 43, berkata, anaknya dikatakan menerima ugutan pada pagi Selasa lalu dan dia hanya mengetahui perkara itu selepas anaknya yang berusia 11 tahun menceritakan kejadian itu sebaik pulang ke rumah.

Menurutnya, anak sulungnya itu mendakwa guru besar terbabit menyampaikan pesanan kepadanya supaya tidak masuk campur urusan sekolah dan jika masih berbuat demikian, guru berkenaan mengugut untuk melakukan sesuatu hingga isterinya yang juga warga Thailand dihantar pulang.

“Anak saya pulang ke rumah jam 2.30 petang hari itu menangis dan ketakutan sebelum menceritakan mengenai ugutan itu.

“Kerana takut, anak saya tidak mahu ke sekolah pada Rabu lalu,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama beberapa ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan di sini, semalam.

Katanya, kejadian berlaku berpunca tindakannya menyokong beberapa ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) lain menegur pengurusan sekolah mengenai isu pengurusan tabung sekolah dan buku latihan sekolah menengah yang perlu dibeli murid yang baru selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurutnya, dia kesal dengan tindakan guru besar berkenaan kerana tergamak melakukan perkara itu terhadap anaknya mengakibatkan anaknya takut untuk ke sekolah kerana tidak mahu kehilangan ibunya.

“Bagaimana seorang guru besar boleh mengugut murid yang baru berusia 11 tahun, jika ada masalah dia boleh menghubungi atau memanggil saya untuk berbincang.

“Isteri saya juga kini takut sedangkan saya mendaftar perkahwinan di Malaysia sejak 12 tahun lalu dan kedua-dua anak saya termasuk anak bongsu berusia 10 tahun adalah warga negara serta bersekolah di sekolah itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Lenggong pada hari kejadian.

Katanya, dia membuat laporan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak kelmarin berhubung ugutan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria yang dihubungi maklum dengan kes berkenaan dan sedang menunggu laporan rasmi daripada JPN Perak.

Guru besar sekolah berkenaan ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen dan menyerahkan perkara itu kepada siasatan JPN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:37 AM