HAFIZH pamer tunggangan cemerlang pada sesi latihan bebas GP Perancis.
HAFIZH pamer tunggangan cemerlang pada sesi latihan bebas GP Perancis.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah semakin menghampiri sasaran untuk menduduki kelompok 10 terbaik pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Perancis hari ini apabila mempamer tunggangan meyakinkan pada dua sesi latihan bebas semalam.

Hafizh mencatat masa 1 minit 38.461 saat pada sesi latihan bebas kedua untuk masa ke-12 terpantas dan hanya ketinggalan 1.091s di belakang Johann Zarco (Ajo Motorsport) yang mencatat masa terpantas semalam.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu yang baru meraikan ulang tahun kelahiran ke-22 kelmarin, juga mempamer aksi meyakinkan pada sesi latihan pertama apabila mencatat masa 1 minit 39.171 saat untuk kedudukan ke-13 terpantas.

Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi turut tidak mengecewakan apabila mencatat masa ke-15 terpantas.

Khairul atau lebih dikenali Super KIP, mencatat masa 1 minit 45.162 saat untuk kedudukan ke-12 terpantas di sesi latihan bebas pertama.

Bagaimanapun, pelumba Honda Team Asia itu memperbaiki catatannya dengan melakukan 1 minit 44.208 saat di sesi latihan bebas kedua untuk kedudukan ke-15 terpantas secara keseluruhan selepas berakhir dua sesi latihan bebas.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara dari pasukan SIC Racing Team, Adam Norrodin mempamer aksi hambar apabila sekadar mencatat masa ke-25 terpantas selepas dua sesi latihan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:08 AM