WAN Hasmawi  (kiri) menyediakan cendol durian kepada pelanggan di gerainya di Kampung Geting, Tumpat yang dijual pada harga RM10 sebekas. FOTO Siti Rohana Idris
WAN Hasmawi (kiri) menyediakan cendol durian kepada pelanggan di gerainya di Kampung Geting, Tumpat yang dijual pada harga RM10 sebekas. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Tumpat: Musim panas dianggap rezeki terpijak buat peniaga cendol durian dari Kampung Geting, di sini apabila perniagaan yang dijalankan mendapat sambutan luar biasa.

Setiap hari, Wan Hasmawi Wan Abdullah, 31, menyediakan kira-kira 500 kilogram (kg) durian untuk penyediaan cendol duriannya yang dimulakan awal bulan lalu.

Wan Hasmawi berkata, setiap hari juga dia akan mendapatkan bekalan durian dengan lima pembekal sekitar Kelantan termasuk dari Selatan Thailand demi memenuhi permintaan cendol durian.

"Belum sampai sebulan lagi saya berniaga cendol durian tapi sambutan yang diterima sangat luar jangka dan setiap hari saya perlu menyediakan 500kg durian, 150kg cendol, 60kg santan serta 50kg pulut.

"Musim kemarau sekarang memang ramai yang datang untuk membasahkan tekak selain ingin merasai sendiri cendol yang menggunakan durian jenis tangkai panjang, kancing baju, cheni dan sesekali durian kunyit," katanya ketika ditemui di sini.

Wan Hasmawi berkata, dia menggunakan resepi cendol mamak kerana dia sendiri berketurunan mamak dari Pulau Pinang dan semua ramuan serta sukatan langsung tidak diubah.

Menurutnya lagi, sudah tiga tahun dia mengusahakan perniagaan cendol namun tidak membuka gerai sebaliknya hanya mengambil tempahan sahaja.

"Baru-baru ini saya ada berjalan-jalan ke Thailand dan melihat lambakan durian dan dijual pada harga murah sebelum ia memberi idea kepada saya untuk memperkenalkan menu cendol durian.

"Sebaik dijual, ramai yang suka dan apabila meniti di bibir pelanggan, sehari demi sehari kami tidak menang tangan namun cuba sedaya upaya untuk memberi peluang kepada yang datang agar dapat merasainya," katanya.

Wan Hasmawi berkata, tidak hanya cendol durian, gerainya juga menyediakan cendol biasa, jagung, tapai pulut, kacang merah, mangga, mak kita (tanpa durian) serta campur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 2:08 PM