Siti Bainun.
Siti Bainun.
Suraya Roslan


Putrajaya: Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali menarik balik rayuannya terhadap penangguhan hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down dikenali Bella di Mahkamah Rayuan hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku pemohon pada sebutan kes itu di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Dalam prosiding hari ini, peguam itu berkata, penarikan rayuan itu atas arahan anak guamnya.

"Ia memandangkan kami (pembelaan) sudah mendapat arahan daripada Mahkamah Tinggi untuk memfailkan satu permohonan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman di mahkamah terbabit," katanya.

Peguam terbabit juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa rayuan itu kini bersifat akademik atau tidak lagi relevan.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa dan Azizah Mohamad kemudian tidak membantah dengan penarikan rayuan berkenaan.

Mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Ahmad Zaidi kemudian membatalkan rayuan itu.

"Rayuan dibatalkan, permohonan (rayuan) boleh difailkan semula di Mahkamah Tinggi," katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Sebelum ini pada 23 Mei tahun lalu, Siti Bainun gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Ahmad Bache ketika itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selain meneliti hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua belah pihak sebelum ini.

Pada 2 Mei lalu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang mendengar rayuan berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:48 PM