ISTANA Kehakiman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. FOTO arkib NSTP
ISTANA Kehakiman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Putrajaya: Bekas penjaga stor yang disabit membunuh teman rapatnya dengan menikam wanita itu sebanyak tujuh kali akibat cemburu terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan dengan hukuman penjara selama 33 tahun.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ooi Ai Peng, 46, di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Dua hakim lain yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata, hukuman mati wanita itu diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 33 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Mac 2010.

Peguam T Jayaraj yang mewakili Ooi memohon mahkamah mengetepikan hukuman mati kerana tertuduh sudah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun manakala Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi yang membantah permohonan itu mencadangkan hukuman pemenjaraan sekurang-kurangnya 33 tahun perlu dikenakan terhadap tertuduh.

Wanita itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada 2011 kerana membunuh Suhana Mohd Sharif, 26, di luar premis bernombor 167, Taman Kristal Mergong, Alor Setar kira-kira jam 9.30 malam pada 3 Mac 2010.

Rayuan Ooi ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2013 dan 2014.

Dalam kejadian itu, Suhana ditikam tujuh kali sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 11.35 malam hari yang sama, manakala Ooi bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangannya.

Kedua-dua wanita yang juga rakan sekerja di sebuah kedai alat tulis di Kedah itu dipercayai berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran besar di antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 2:36 PM