Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuan dan ugutan mahu mencederakan mangsa.

Tertuduh berusia 44 tahun mengaku melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Bagi pertuduhan amang seksual, tertuduh dikenakan penjara lapan tahun dan satu sebatan, manakala ugutan jenayah, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Namun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 14 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dua bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Badang di sini, jam 3 petang, pada 9 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah hendak mendatangkan cedera parah kepada mangsa yang sama dengan menggunakan pisau di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di dalam sebuah bilik, tiba-tiba ayah tirinya masuk dan bertindak melakukan amang seksual terhadapnya.

Ayah tirinya keluar dari bilik dan masuk semula dengan mengacu pisau dan mengugut mahu menikam alat sulit mangsa sekiranya memberitahu sesiapa tentang kejadian itu.

Mangsa memberitahu ibunya pada jam 9 pagi pada 12 Mei lalu dan ibu saudaranya pada jam 7 pagi, 13 Mei.

Mangsa dan ibu saudaranya tampil membuat laporan di Balai Polis Badang sebelum, tertuduh ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:54 PM