HAFIZH akui kurang selesa beraksi di litar basah. FOTO/OSMAN ADNAN
HAFIZH akui kurang selesa beraksi di litar basah. FOTO/OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran dan Khairil S Iswan & Fadhli Ishak


HAFIZH Syahrin Abdullah menjangkakan mampu mencatat masa lebih pantas pada sesi kelayakan Kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia esok selepas melalui dua sesi latihan bebas hari ini untuk mencatat masa ke-12 terpantas.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia yang beraksi dalam kategori Moto2 itu melakukan catatan berkenaan pada sesi latihan bebas pertama dengan masa 2 minit 07.970 saat.

Namun pada sesi latihan bebas kedua yang berlangsung dalam litar basah, Hafizh yang mendapat gelaran Pescao sekadar mencatat masa ke-18 terpantas.

“Pada sesi latihan bebas pertama, saya menggunakan data tahun lalu dan apa yang menarik catatan masa yang saya lakukan lebih pantas berbanding dua tahun lalu serta tahun lalu.

“Sebab itu saya rasa cukup yakin tidak kira sama ada cuaca kering atau basah, jentera saya mampu mencatat masa lebih laju esok,” katanya ketika ditemui selepas berakhir sesi latihan bebas hari ini.

Bagaimanapun, mengambil kira catatan masa sesi latihan bebas kedua, Hafizh mengakui kurang selesa beraksi di litar basah kerana gagal mendapatkan pelarasan yang dimahukan.

“Yang pasti saya perlukan pelarasan cukup baik untuk sesi kelayakan esok.

“Saya meletakkan sasaran untuk menempah petak 10 terbaik. Saya percaya rakan sepasukan akan mencari jalan penyelesaian untuk mendapatkan pelarasan lebih baik sekiranya perlu beraksi dalam litar basah,” katanya.

Tahun lalu Hafizh bermula di petak ke-14 tetapi mempamer tunggangan konsisten untuk menamatkan perlumbaan di tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 8:07 PM