Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba sensasi Moto3 negara Khairul Idham Pawi (gambar) mempamer tunggangan meyakinkan pada sesi latihan bebas pusingan keempat Grand Prix (GP) Sepanyol semalam apabila mencatat masa kelapan terpantas.

Khairul atau lebih dikenali Super KIP, sekadar mencatat masa 1 minit 49.743 saat untuk kedudukan ke-23 terpantas pada sesi latihan pertama.

Namun pelumba Honda Team Asia itu memperbaiki catatannya dengan melakukan 1 minit 47.950 saat ketika sesi latihan bebas kedua untuk kedudukan ketujuh terpantas sekali gus kelapan terbaik keseluruhan selepas berakhir dua sesi latihan bebas.

Selepas mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara menaiki podium pertama pada pusingan kedua GP Argentina, Khairul gagal mengutip mata pada pusingan ketiga di Austin apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-20.

Bagaimanapun, nasib berbeza dilalui seorang lagi pelumba negara yang mewakili SIC Racing Team Adam Norrodin apabila sekadar mencatat masa ke-31 terpantas selepas dua sesi latihan bebas.

Sementara itu, Hafizh Syahrin perlu memberikan tunggangan lebih baik jika ingin mencabar penunggang lain dalam acara Moto2.

Hafizh yang ketika ini menduduki tempat kesembilan keseluruhan dengan 23 mata men
jadi pelumba ke-14 terpantas dengan catatan 1’44.135s.

Pelumba itu ketinggalan 1.5s kepada Takaaki Nakagami dari Jepun yang mencatat rekod baru dengan 1’42.642s, manakala Lorenzo Baldassarri dan Simone Corsi kedua dan ketiga terpantas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 7:24 AM