Alias Abd Rani

Muar: Remaja yang sedang menjalani perintah bon berkelakuan baik atas kesalahan merogol, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas pelajar perempuan di sebuah pusat karaoke di sini.

Tertuduh yang berusia 18 tahun yang berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 sebelum itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap gadis berusia 13 tahun di sebuah pusat karaoke di sini, pada 3 petang 10 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengulangi perkara sama dengan menyuruh mangsa melakukan oral seks dengan kedua-dua kejadian itu berlaku pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Hukuman bagi kesalahan ini ialah tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tertuduh bekerja pembantu kantin pernah didakwa di Mahkamah Majistret Muar pada Jun tahun lalu mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol gadis bawah umur.

Tertuduh yang ketika itu berusia 17 tahun lima bulan dan masih bawah umur, mengaku bersalah dan mahkamah memerintahkannya dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagaran RM2,000 bermula November tahun lalu sehingga Oktober tahun depan.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan ketika dalam tempoh itu menyebabkan mahkamah membatalkan wang ikat jamin terbabit.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah untuk tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh atas tiga alasan iaitu melanggar bon dikenakan, kesalahan dilakukan serius serta tempat tinggalnya berdekatan rumah mangsa.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tiada ikat jamin ditawarkan terhadap tertuduh.

Pada masa sama, mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 23 Jun ini untuk penyediaan fakta kes, laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta hukuman bakal dikenakan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:39 PM