ADAM (kiri) dan Khairul (kanan) ketika sesi latihan bebas ketiga sempena perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. -Foto ASYRAF HAMZAH
ADAM (kiri) dan Khairul (kanan) ketika sesi latihan bebas ketiga sempena perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. -Foto ASYRAF HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto3 negara Adam Norrodin mempamer aksi meyakinkan pada sesi latihan bebas pertama Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pagi ini apabila mencatat masa kedua terpantas.

Mewakili SIC Racing Team, Adam mencatat masa sepusingan terpantas 2 minit 13.409 saat, ketinggalan hanya 0.280s di belakang Joan Mir yang mencatat masa paling pantas.

Seorang lagi pelumba negara dalam saingan Moto3 yang beraksi menerusi tiket wildcard, Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Racing) mencatat masa ke-29 terpantas.

Dalam kategori Moto2 pula, Hafizh Syahrin Abdullah dari PETRONAS Raceline Malaysia mencatat masa ke-12 terpantas (2:07.970s), ketinggalan 1.114s di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo, Miguel Oliveira yang mencatat masa terpantas.

Pelumba Idemitsu Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi pula dilihat bergelut apabila mencatat masa ke-27 terpantas (2:09.485s).

Saingan MotoGP pula menyaksikan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mencatat masa terpantas 2:00.671s.

Sesi latihan bebas kedua akan bersambung semula jam 1.10 petang ini bermula dengan kelas Moto3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:02 PM