AKSI Syahir  melakukan servis ketika menentang Brunei  di Stadium Titiwangsa. FOTO Bernam
AKSI Syahir melakukan servis ketika menentang Brunei di Stadium Titiwangsa. FOTO Bernam
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad regu negara mengakui belum menampilkan aksi 100 peratus lagi namun mereka melaungkan amaran sudah bersedia bertemu mana-mana pasukan di pusingan seterusnya bagi memastikan misi ke final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 tercapai.

Tekong negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi berkata, mereka tidak boleh mengambil ringan tentangan dari negara lain kerana setiap pasukan sudah ada peningkatan dan dia serta rakan-rakan akan menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

Tambah Syahir, biarpun sudah bermain dua perlawanan menentang China dan Brunei dalam aksi Kumpulan B, pemain masih mencari rentak permainan untuk mendapatkan prestasi terbaik.

Pada masa sama, dia juga mengakui masih terdapat beberapa kelompongan dan perlu segera diperbaiki sebelum turun di suku akhir esok.

"Untuk perlawanan seterusnya kita akan tengok dengan siapa (Malaysia bertemu). Jadi dalam kami punya persediaan memang kami nak lawan Thailand dan memang beranggapan lawan kita jumpa itu adalah Thailand.

"Kita akan berikan yang terbaik kerana dari situ, kita dapat kenal pasti kelemahan dan baiki segera dari semasa ke semasa sehingga bertemu mereka (Thailand) di final.

"Setakat ini apa yang saya lihat masih ada lagi kelemahan perlu kami perbaiki dari segi bertahan dan pukulan. Bagi saya prestasi terbaik masing-masing belum dapat lagi dari segi balingan, servis, pukulan semua belum capai tahap maksimum lagi.

"Kami akan mempercepatkan keserasian itu semasa dalam perlawanan nanti. Saya berharap dapat masuk final," katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Terdahulu, skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun tidak berhadapan sebarang masalah mencatatkan kemenangan bersih ke atas lawan mereka untuk muncul juara kumpulan.

Di suku akhir esok, Malaysia akan menanti naib johan Kumpulan C sama ada Korea Selatan, Singapura atau Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 2:20 PM