KHAIRUL gagal terus rentak cemerlang.
KHAIRUL gagal terus rentak cemerlang.

Kuala Lumpur: Pelumba Honda Team Asia Khairul Idham Pawi gagal meneruskan tunggangan cemerlang di sesi latihan bebas kelmarin pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Sepanyol, malam tadi.

Sensasi baru negara berusia 17 tahun itu yang mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara menaiki podium di GP Argentina, sekadar mencatatkan masa 1 minit 47.740 saat untuk bermula di petak ke-24 saingan Moto3 pada perlumbaan sebenar hari ini.

Khairul atau nama gelarannya Super KIP dilihat tidak selesa sepanjang sesi kelayakan semalam, tidak seperti ketika mencatat masa kelapan terpantas pada sesi latihan bebas kelmarin.

Rakan sepasukan Khairul, Hiroki Ono mencatat masa lebih baik iaitu 1 minit 47.580 saat sekali gus bakal bermula di petak ke-19.

Seorang lagi pelumba negara Adam Norrodin dari pasukan SIC Racing Team turut mempamerkan prestasi hambar apabila bakal bermula di petak ke-28 hari ini selepas mencatat masa 1 minit 48.025 saat.

Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi dalam kategori Moto2 turut gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan apabila mencatat masa 1 minit 43.897 saat sekali gus bakal bermula di petak ke-24.

Seperti Khairul, Hafizh yang beraksi bersama PETRONAS Raceline Malaysia juga dilihat bergelut sepanjang sesi kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:56 AM