KHAIRUL Idham ketika sesi latihan bebas pertama. FOTO Osman Adnan
KHAIRUL Idham ketika sesi latihan bebas pertama. FOTO Osman Adnan
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi mencuri tumpuan apabila mencatat masa kedua terpantas selepas berakhir dua sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba Honda Team Asia itu mencatat masa berkenaan di sesi latihan bebas pertama dengan catatan 2 minit 16.371 saat.

Dia hanya ketinggalah 0.851s di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo yang juga juara dunia, Brad Binder yang mengungguli sesi latihan bebas hari ini.

Pada sesi latihan bebas kedua, pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu mencatat masa ketiga terpantas.

"Saya cuma mahu mendapatkan pelarasan yang bagus dan sesuai dengan jentera.

"Selain itu, saya mahu berasa selesa dengan keadaan litar. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan catatan hari ini kerana dapat berada dalam kedudukan tiga terbaik di kedua-dua sesi latihan bebas.

"Bagi sesi kelayakan esok, saya berharap dapat berada dalam kedudukan 10 terbaik untuk memudahkan bersaing di kelompok hadapan," katanya yang sudah menaiki podium pertama sebanyak dua kali di GP Argentina dan Jerman.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin daripada SIC Racing Team mencatat masa ke-24 terpantas dengan catatan 2:18.996s.

Manakala Hafiq Azmi yang menggantikan John MacPhee untuk pasukan Peugeot MC Saxoprint berikutan kecederaan menimpa pelumba Britain itu, mencatat masa ke-28 terpantas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 3:55 PM