MIKAEL  Damien Qaizer meraikan ulang tahun kelahiran kesembilan, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
MIKAEL Damien Qaizer meraikan ulang tahun kelahiran kesembilan, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Redzuan Muharam


Port Dickson: "Allahuakbar, tak terkata saya. Terima kasih sangat kepada rakyat Malaysia atas keprihatinan semua," kata bapa tunggal, Nasarudin Md Nasir, 52, dari Taman Desa Port Dickson di sini yang terharu apabila kisah anak sulungnya, Mikael Damien Qaizer, 9, mendapat perhatian hingga ramai menghadiahkan kek dan menghulurkan sumbangan wang tunai, semalam.

Menurut Nasarudin, ramai juga yang memberi ucapan sempena ulang tahun kelahiran anaknya semalam dan sebagai bapa, dia sangat menghargainya.

"Selepas tersiarnya berita mengenai anak saya di dalam portal Harian Metro petang semalam, banyak kiriman WhatsApp dan panggilan telefon yang diterima.

"Rata-ratanya mahu hadiahkan kek buat anak saya malah ada yang nak hantar dari Kelantan.

"Setakat semalam saja, anak saya sudah terima lima kek. Ada juga wakil komuniti perumahan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang ziarah malah hari ini, dapat dua kek lagi.

"Syukur dan terima kasih sangat kerana santuni kami. Hanya Allah SWT saja yang mampu membalas kebaikan semua," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan kisah Nasarudin merayu kepada mereka yang sudi untuk menghadiahkan sepotong kek sempena ulang tahun kelahiran anak sulungnya itu.

Nasarudin meluahkan hasratnya itu kerana mahu menceriakan anaknya tetapi tidak mampu membelikan kek kerana kesempitan hidup kesan dua bulan tidak bekerja akibat masalah buah pinggang kiri mengecil.

Selain Mikael Damien Qaizer, Nasarudin juga perlu menyara anak bongsunya, Mikael Danish Qaizer, 7, dengan ada ketikanya terpaksa mengikat perut kerana ketiadaan wang.

Kisah itu bukan hanya mengundang simpati warganet tetapi juga selebriti antaranya Yana Samsudin dan Mona Allen yang meluahkan hasrat untuk menghadiahkan kek buat Mikael Damien Qaizer.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:43 PM