PENYOKONG membawa poster yang memberikan  sokongan moral kepada  Faisal Halim dan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid di  di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.  FOTO Hairul Anuar Rahim
PENYOKONG membawa poster yang memberikan sokongan moral kepada Faisal Halim dan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid di di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Insiden membabitkan tonggak Selangor FC Faisal Halim disimbah asid ada hikmahnya apabila menyatukan seluruh negara terutamanya membabitkan komuniti bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, situasi terbabit dapat disaksikan apabila semua lapisan masyarakat di negara ini bangkit dengan mengutuk perbuatan tidak bertanggungjawab yang sanggup menyimbah asid kepada Faisal.

Beliau berkata, perkara itu memberikan suntikan semangat kepada pasukan dan keluarga Faisal untuk mengharungi kejadian terbabit yang sememangnya meninggalkan kesan mendalam kepada mereka.

"Insiden berlaku baru-baru ini menyatukan seluruh Malaysia. Kita dapat lihat sokongan terhadap Mickey dan keluarganya.

"Semua pihak tidak kira daripada pasukan profesional dan amatur termasuklah bukan dalam kalangan komuniti bola sepak pun berikan sokongan.

"Kita tidak lalui apa yang dirasai Mickey. Jadinya, ada perkara positif yang boleh diambil daripada kejadian ini," katanya.

Sebelum ini, Faisal atau mesra dipanggil 'Mickey' diserang dua inidvidu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya.

Susulan itu, pemain lincah itu disahkan mengalami lecuran teruk atau lecuran tahap empat yang menyaksikan beberapa bahagian anggota badannya terutama di tangan, leher dan badan sebelah kiri mengalami luka dalam akibat asid berbahaya itu.

Pada minggu lalu, Faisal ditukarkan ke wad biasa selepas menunjukkan tanda-tanda positif selepas menjalani tiga pembedahan di bahagian badan yang terkena simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Berikutan itu, Faisal dijadual mengharungi pembedahan terakhir dalam tempoh terdekat ini sebelum dibenarkan pulang selepas rawatan susulan daripada pembedahan itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:28 PM