Wani Kayrie
Wani Kayrie
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Penyanyi, Wani Kayrie, 24, lega dan bersyukur apabila memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Perdagangan dalam Majlis Konvokesyen ke-33 Management and Science University (MSU) yang berlangsung di Shah Alam, kelmarin.

Wani turut menerima Anugerah Dekan dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.54.

"Alhamdulillah. Saya dah selesai menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dan Insya-Allah, sekiranya ada peluang, saya akan sambung ke peringkat Ijazah selepas ini," katanya kepada Harian Metro.

Wani, 24, bagaimanapun masih menimbang tara sama ada ingin melanjutkan pelajaran dalam masa terdekat atau tidak memandangkan dia dan syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd kini merancang untuk mengeluarkan album EP.

"Perancangannya kami nak keluarkan album EP dan lagu-lagu pun dah ada. Cuma belum teliti lagu yang sesuai untuk dimasukkan.

"Lagipun, saya dah agak lama berkarya di dalam industri muzik dan kerap keluarkan single. Saya rasa, dah tiba masanya saya fikirkan untuk album pula," katanya.

Ditanya mengenai masa hadapannya dalam bidang perundangan, Wani berkata, dia menyimpan impian untuk mendalami ilmu undang-undang dengan lebih mendalam.

"Kalau di peringkat ijazah, saya nak belajar ilmu undang-undang dengan lebih mendalam. Mungkin lebih kepada ilmu berkaitan kontrak dan sebagainya.

"Jadi, ilmu ini dapatlah saya aplikasikan dalam urusan kerjaya saya sebagai artis dan mungkin boleh memberikan khidmat nasihat undang-undang kepada mereka yang memerlukan termasuklah syarikat pengurusan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:36 PM