AARON (kanan) dan Wooi Yik  ketika menjalani sesi latihan  di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Bernama
AARON (kanan) dan Wooi Yik ketika menjalani sesi latihan di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Berdasarkan prestasi semasa mereka yang konsisten, Masters Malaysia adalah peluang terbaik buat beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk muncul juara.

Terutama tanpa kehadiran ramai beregu utama dunia yang memilih untuk tidak menyertai kejohanan di Axiata Arena itu kerana memilih melangkau kejohanan Super 500 untuk memberi tumpuan kepada kejohanan lebih besar seperti Terbuka Super 750 Singapura minggu depan dan Super 1000 Indonesia terbuka selepas itu.

Perkara itu dilihat memberi peluang kepada Aaron-Wooi Yik menamatkan kemarau 11 tahun gelaran juara beregu lelaki yang kali terakhir dimenangi pasangan negara Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.

Malah Aaron turut mengakui mereka pastinya ingin berusaha untuk muncul juara.

"Peluang tinggi (muncul juara), ya, tetapi kami masih perlu memberikan yang terbaik untuk memastikan kejuaraan. Termasuk Malaysia Masters, ini akan menjadi tiga kejohanan terakhir kami sebelum Sukan Olimpik," kata Aaron.

Namun tegas Aaron-Wooi Yik ia bukanlah keutamaan bagi mereka berbanding memenangi emas di Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

"Jika menang pada baki tiga kejohanan ini ia satu yang bagus. Tahun ini juga perjalanan karier badminton kami juga konsisten.

"Tapi kami masih dalam progres untuk jadi lebih kuat dalam taktikal dan corak permainan. Kami harapkan prestasi ini akan terus konsisten hingga Olimpik," kata Wooi Yik.

Sementara itu mereka yang ditemui pada sesi menguji gelanggang di Axiata Arena berkata, adalah penting untuk mereka memastikan tahap kesihatan dan fizikal berada di tahap terbaik.

Untuk rekod kali terakhir wakil negara memenangi Malaysia Masters ialah menerusi beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.

Sejak itu, tiga pasangan beregu lelaki lain - Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan satu pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah hanya berjaya mara hingga ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 2:32 PM