BARISAN pelumba TSG.
BARISAN pelumba TSG.

Kuala Lumpur: Isu pembayaran elaun latihan bulanan dibangkitkan barisan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, perkara itu sudah dibawa Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat kepada pengetahuan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi memenuhi permintaan pelumba terbabit.

“Kami akan cuba dapatkan apa yang pihak pelumba inginkan. Ketika ini, kami masih dalam proses perbincangan dengan menteri.

“Isu itu akan cuba diselesaikan secepat mungkin dan satu perbincangan dengan pelumba akan diadakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya semalam.

Ahmad Farhan berkata, TSG akan terus memberi sokongan kepada negara sekiranya khidmat pelumba kelab berstatus benua itu diperlukan.

“Kami akan mengambil pendekatan bertolak ansur dengan PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) demi masa depan sukan basikal negara.

“PKBM dan TSG ibarat satu ‘keluarga’ yang bergerak atas nama Malaysia. Jika tidak boleh bekerjasama pasti susah untuk kita maju dalam sukan ini,” katanya.

Mengimbas kembali detik kejayaan pelumba di Sukan SEA Singapura yang lalu, Farhan berkata, raut wajah pelumba negara ketika itu cukup luar biasa dengan mereka begitu bersemangat untuk memenangi emas.

“Mereka mahu membuktikan pelumba negara mampu menakluk dan menjadi kuasa besar Asia Tenggara,” katanya.

Kombinasi pelumba yang dibarisi Adiq Husainie Othman, Harrif Salleh, Zamri Salleh, Anuar Manan, Saiful Anuar Aziz dan Fauzan Ahmad Lutfi berjaya menamatkan penantian 10 tahun negara dalam acara lebuh raya selepas Harrif berjaya melepasi garisan penamat sebagai juara.

Bukan satu, malah Harrif turut cemerlang dengan menyumbangkan satu lagi emas dalam acara kriterium.

Namun, isu elaun kembali merencat semangat pelumba negara apabila dikhabarkan PKBM tidak mengotakan janji untuk memberi elaun bulanan kepada pelumba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:04 AM