ANUAR kembali tersenarai dalam skuad lebuh raya.
ANUAR kembali tersenarai dalam skuad lebuh raya.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pakar pecut negara Anuar Manan menanam tekad untuk menghadiahkan emas buat negara pada Sukan SEA tahun depan bagi membalas kepercayaan diberikan kepadanya.

Nama Anuar kembali tersenarai untuk fasa kedua program Kita Juara selepas mesyuarat antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kelmarin.

Pada minggu lalu, Anuar tiada dalam senarai awal Terengganu Cycling Team (TSG), pasukan yang diberikan kepercayaan PKBM untuk menggalas cabaran negara bagi acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

“Memang terkejut apabila mendapat tahu saya kembali disenaraikan. Saya berazam untuk meraih emas Sukan SEA nanti bagi membalas kepercayaan diberikan.

“Apa yang penting saya memerlukan perlumbaan untuk mempamerkan prestasi dan konsisten meraih podium,” kata pelumba TSG itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG Farhan Abdul Wahab menjelaskan isu membabitkan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura berkenaan sudah selesai.

“Kita tidak membantah keputusan dibuat MSN dan PKBM. Kita menerimanya kerana pasti ia yang terbaik untuk negara,” katanya.

Farhan bagaimanapun enggan mengulas kenapa Anuar tidak tersenarai pada peringkat awal dan tidak mahu perkara itu dibangkitkan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada MSN dan PKBM kerana memberikan kepercayaan kepada TSG dengan lapan pelumba tersenarai.

“Perbincangan lanjut akan memutuskan jurulatih dan program latihan pada Isnin depan. Adam Szabo (jurulatih TSG) dilihat pilihan untuk membimbing pasukan namun mungkin ada jurulatih lain, kami akan melihat pilihan yang terbaik nanti,” tambahnya.

Malaysia turun untuk mempertahankan dua emas dimenangi Mohd Harrif Saleh menerusi acara lepas beramai-ramai dan kriterium pada Sukan SEA Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 8:25 AM