HARIFF  (kanan) dan Anuar bakal diserap dalam skuad Projek 2017.
HARIFF (kanan) dan Anuar bakal diserap dalam skuad Projek 2017.

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi bayangan awal untuk terus menggunakan khidmat pelumba pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) dalam misi mendominasi acara lebuhraya apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dua tahun lagi.

Perkara itu disuarakan Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab yang mahu menyerap barisan pelumba TSG termasuk pelumba utama Mohd Harrif Salleh dan Anuar Manan dalam skuad Projek 2017.

“Memang masih belum ada jaminan untuk mana-mana pelumba akan mewakili negara selepas ini tapi pelumba yang beraksi di Sukan SEA baru-baru ini termasuk dari TSG akan diberi keutamaan. Kita boleh lihat semangat kerjasama yang kuat dalam kalangan pelumba kali ini yang menjadi faktor kejayaan.

“Tapi mereka tidak boleh berlatih hanya empat, lima orang saja kerana paling kurang satu pasukan perlu ada 10 hingga 12 pelumba bagi Projek 2017. Buat masa ini kami belum putuskan siapa yang akan berada dalam skuad itu kerana perbincangan akan dilakukan bersama MSN (Majlis Sukan Negara) selepas hari raya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Percaturan dengan menggunakan khidmat lima pelumba TSG Harrif, Anuar, Mohd Zamri Salleh, Muhammad Adiq Husainie Othman dan Mohd Saiful Anuar Aziz serta seorang pelumba kebangsaan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi nyata berbaloi dengan membawa pulang dua pingat emas.

Pingat emas itu disumbang pakar pecut Harrif dalam acara kriterium dan lebuhraya lelaki sekali gus menamatkan penantian negara selama 10 tahun untuk muncul juara.

Selain itu skuad berbasikal negara turut meraih tiga gangsa menerusi Anuar dalam acara lebuhraya, Ju Pha Som Net (kriterium wanita) dan Nurul Suhada Zainal (lebuhraya wanita).

Abu Samah berkata, mereka masih mengkaji venue perlumbaan bagi acara lebuhraya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 namun Putrajaya kini berada dalam senarai utama.

Dengan memilih sedikit laluan berbukit, beliau berharap pakar pecut seperti Harrif dan Anuar membuat persediaan awal untuk meningkatkan prestasi bagi mengharungi laluan mencabar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:16 AM