HARRIF (tengah) tak tolak jika dipancing pasukan profesional benua.
HARRIF (tengah) tak tolak jika dipancing pasukan profesional benua.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh tidak menolak sekiranya ada pasukan bertaraf profesional benua yang ingin mendapatkan khidmatnya.

Namun seandainya ia hanya bertaraf benua, pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura itu bertekad untuk terus menabur bakti bersama TSG dalam menempuh saingan sepanjang 2016.

Selepas menandatangani kontrak lanjutan bersama TSG Harrif berkata, dia mengharapkan 2016 akan terus memberi sinar kepada pasukan dan dirinya secara peribadi.

“2015 meninggalkan kenangan manis buat saya apabila berjaya menghadiahkan emas di Sukan SEA. Saya harap 2016 ini, saya akan terus mempamerkan kayuhan cemerlang dan lebih banyak menamatkan perlumbaan di kedudukan podium.

“Saya akan terus mengejar kejayaan dan berkayuh demi negara biarpun peluang untuk ke Olimpik seakan sudah tertutup kerana mata tidak mencukupi disebabkan kurangnya perlumbaan berbanding 2012,” katanya.

Terkenal dengan kemampuannya sebagai pelumba pecut, Harrif bagaimanapun tidak tersenarai dalam pasukan yang akan membawa cabaran ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang berlangsung di Jepun pada pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, pelumba dari Terengganu itu langsung tidak kecewa biarpun memasang impian untuk berlumba di ACC kerana ia membabitkan cabaran jaguh Asia.

“PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) sebelum ini ada membuat pemilihan pelumba di ACC dan saya tidak dapat hadir kerana ada urusan yang tidak dapat dielak.

“Saya doakan pasukan negara dapat memberikan yang terbaik dan membawa pulang pingat,” katanya.

Cabaran negara di ACC bakal digalas pelumba berpengalaman Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan dibantu Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Saiful Anuar Aziz dan Nik Mohd Azwan Zulkifle.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:15 AM