FITRI (kiri) dan Hafiz buang tanggapan negatif boleh kongsi pentas bersama UNIC. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
FITRI (kiri) dan Hafiz buang tanggapan negatif boleh kongsi pentas bersama UNIC. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
Amirul Haswendy Ashari


RAMAI masih memainkan sentimen dengan mendakwa kumpulan nasyid UNIC dan bekas anggotanya, Fitri Haris sudah berpatah arang berkerat rotan.

Namun, sebagai anak seni matang, segala tanggapan dan anggapan negatif dibuang ke tepi.

Fitri dan teman seperjuangannya yang juga bekas anggota UNIC, Hafiz Hamidun mengakui hubungan mereka dengan kumpulan nasyid itu tetap berlandaskan profesionalisme semata-mata.

“Kali terakhir kami bersama UNIC adalah di konsert amal Fenomena di UIA (Universiti Islam Antarabangsa) pada 20 April lalu. Saya okey saja dan setakat ini mulut orang ada saja bercakap ‘Oh! Fitri masih menyanyi lagu UNIC’ dan pada saya, nak suruh orang berhenti bercakap memang tidak akan berhenti.

“Walaupun satu-satu isu sudah diselesaikan, orang tetap akan bercakap kerana masing-masing ada pengikut sendiri. Kesimpulan saya ialah kita tidak boleh halang orang nak bercakap. Apa yang penting, kita tahu apa yang kita buat,” kata Fitri.

Hafiz berkata, sejak muncul solo, dia sentiasa bersikap profesional walaupun kadang-kadang wujud banyak sangkaan dan tanggapan.

Baginya, tidak perlu ada perasaan iri hati kerana semua pihak ada rezeki masing-masing.

“Saya tidak mahu fikir perkara yang boleh merosakkan hubungan. Kenapa perlu fikir ke arah itu jika boleh berfikir cara untuk perbaiki hubungan. Pada saya, ambil pendekatan profesional, buat kerja seperti biasa dan niat kita hanya mahu berdakwah melalui seni,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada keluarga penyanyi nasyid, dia faham mengenai isu antara Fitri dan UNIC, sebelum ini. Hafiz berkata, ia hanya isu kecil tapi disensasikan kerana peminat melihat mereka masih nyanyi bersama-sama.

Dalam pada itu, Fitri turut menjelaskan UNIC sudah pun membuat kenyataan dan berlapang dada, malah menganggap ia isu lama.

Seperti kata temannya Hafiz, Fitri juga bertindak profesional dan andai dijemput untuk acara yang turut dihadiri ahli kumpulan itu, dia masih akan penuhi jemputan.

“Ketika konsert Fenomena tempoh hari, kami tetap nyanyi bersama-sama atas pentas. Ia tanggungjawab kami untuk buat persembahan, dibayar dan kena selesaikan dengan cara profesional,” katanya.

PENGARAH Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun (empat dari kiri) bergambar bersama barisan artis pada sidang media Nur Ramadan.
PENGARAH Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun (empat dari kiri) bergambar bersama barisan artis pada sidang media Nur Ramadan.

Hafiz tidak menyebelahi sesiapa

Tenang tapi tegas, Hafiz akui komposer asal beberapa lagu popular UNIC, kumpulan Hijjaz pun sudah menjelaskan dan memberi kenyataan sebelum ini.

“Mereka adalah pencipta lagu-lagu dipopularkan UNIC tapi mungkin ada yang masih salah faham. Kalau ikutkan, saya pun berhak juga nak bercakap, jangan nyanyilah lagu yang ada suara saya!

“Tapi takkan saya nak cakap begitu sebab pada kita isu kena perbetulkan, bukan dengan mengeruhkan keadaan,” katanya.

Hafiz juga mengakui apabila timbul isu itu, ada yang tanya dia menyebelahi siapa?

“Saya tidak sebelah mana-mana, mungkin ada benda yang boleh cari penyelesaian contohnya, kalau nak nyanyi, nyanyi semua, kalau tak boleh nyanyi, semua tak boleh nyanyi, itu lagi bagus dan adil!” katanya berseloroh.

Hafiz, Fitri dan UNIC berkongsi pentas lagi di Nur Ramadan

Bagi membuktikan mereka tiada masalah, Hafiz dan Fitri kembali berkongsi pentas dengan UNIC di Konsert Nur Ramadan di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur jam 8.45 malam esok.

Konsert percuma itu anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Fitri berkata, dia akan menyampaikan tiga buah lagu iaitu Wahai Kekasihku, Hanya Tuhan Yang Tahu (2018) dan Zinnirah versi GGV.

Hafiz juga akan menyampaikan tiga lagu iaitu Kasih Padamu, Laukana Bainana dan Penyelamat.

Katanya, walaupun konsert itu bertemakan Ramadan tapi pemilihan lagu daripada pihaknya ada sebaliknya.

“Pemilihan lagu saya untuk seimbangkan dengan iringan muzik Orkestra DBKL dan untuk penonton umum terutama semua warga bandar raya dan pelancong,” katanya.

Selain Hafiz, Fitri dan UNIC, konsert ini turut disertai Akhil Hayy, Lah Ahmad dan kumpulan Mirwana serta diacarakan Imam Muda Nazrul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 4:30 AM